KUALA LUMPUR 12 Sept – Persatuan Pengimport Komoditi untuk Makanan Haiwan Malaysia (ACiAFM) telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Ogos lalu bagi membincangkan kesan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu yang mula berkuat kuasa 1 Julai.
Presiden interimnya, Chong Kam Weng berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya telah memaklumkan risiko kenaikan kos pengeluaran ayam, telur dan daging akibat cukai tersebut, yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna.
Beliau berkata, kerajaan wajar memberi pengecualian cukai jualan ke atas bahan mentah makanan ternakan tertentu bagi mengelakkan kesan rantaian kepada harga barang keperluan asas rakyat.
“Ketika ini, 30% bahan mentah makanan haiwan seperti kacang soya, gandum pollard, hampas canola dan campuran vitamin dikenakan SST pada kadar 5%.
“Nilai keseluruhan bahan mentah makanan ternakan berjumlah sekitar RM11 bilion. Dengan 30% daripadanya dikenakan cukai 5%, ia bermakna kos tambahan mencecah RM170 juta,” katanya lapor The Star.
Tambahnya, kerajaan telah mengecualikan beberapa input utama seperti jagung yang 100% diimport, hampas kacang soya (68% diimport dan 32% tempatan), minyak sawit serta hampas isirung sawit.
“Bahan-bahan ini merangkumi 70% daripada jumlah keseluruhan.
“Namun begitu, baki 30% yang masih tertakluk kepada SST tetap memberi kesan besar kepada daya saing pengeluar tempatan berbanding pemain serantau.
“Keseluruhan kos tambahan ini akan dipindahkan kepada pengguna, menjadikan produk ayam dan ternakan lebih mahal. Ia juga menghakis daya saing industri tempatan,” katanya.
Bagi mengurangkan beban tersebut, ACiAFM mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pengilang makanan haiwan dan penternak mendaftar di bawah SST walaupun produk mereka tidak dikenakan cukai.
Langkah itu, jelasnya, akan membolehkan mereka menuntut pengecualian di bawah Jadual B atau C untuk semua bahan ramuan makanan haiwan, sekali gus membantu mengawal harga ayam, telur dan daging di pasaran.
Katanya, pengecualian ini wajar dihadkan khusus untuk tujuan pengeluaran makanan ternakan.
“Industri lain yang menggunakan bahan sama bagi produk mewah atau bukan keperluan seperti campuran vitamin atau makanan diproses perlu terus dikenakan SST kecuali ditentukan sebaliknya oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Sim Zhi Zhan berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas rasmi daripada Kementerian Kewangan selepas pelbagai pihak berkepentingan menghantar permohonan pengecualian.
“Apabila SST dikenakan ke atas bahan mentah, kos pengeluaran pasti meningkat dan berpotensi mempengaruhi harga ayam pedaging. Namun kesannya berbeza mengikut syarikat,” katanya. - DagangNews.com








