Pengilang mahu pelaksanaan segera pindaan Akta MARA libatkan lebih banyak industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengilang mahu pelaksanaan segera pindaan Akta MARA libatkan lebih banyak industri

Antara usahawan yang hadir di Majlis Karnival 60 tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang) menggesa agar pelaksanaan segala inisiatif dan pembaharuan berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA), termasuk cadangan pindaan Akta MARA, dipercepatkan serta dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan aktif pihak industri.

 

Menurut Pengilang, pindaan terhadap Akta MARA perlu diberi keutamaan bagi memastikan kerangka perundangan institusi itu kekal relevan, responsif terhadap keperluan semasa serta mampu memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan usahawan Bumiputera secara lebih berkesan dan berimpak tinggi.

 

Presiden Pengilang, Datuk Seri Dr Azman Yusoff berkata sepanjang enam dekad, MARA telah memainkan peranan signifikan dalam memperluas peluang pendidikan, keusahawanan serta pembangunan kapasiti dalam kalangan Bumiputera.

 

“Pengilang menyokong penuh terhadap cadangan pindaan Akta MARA seperti yang ditekankan kerajaan dan menganggap langkah tersebut penting bagi memperkasakan lagi fungsi serta keberkesanan institusi berkenaan.

 

“Kami yakin MARA akan terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera melalui pendekatan Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) secara mampan dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya draf pindaan Akta MARA disiapkan dalam tempoh tiga bulan ketika hadir merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-60 MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

 

Langkah itu termasuk memperkemas fungsi MARA sebagai payung besar ekonomi Bumiputera serta pusat sehenti pembangunan menerusi penyelarasan pelbagai agensi dan dasar berkaitan.

 

Dalam pada itu, Pengilang turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada MARA atas pencapaiannya sejak penubuhan pada 1 Mac 1966, yang disifatkan sebagai antara tonggak utama dalam pembangunan sosioekonomi Bumiputera di negara ini.

 

“Pengilang turut menghargai pelbagai kemudahan dan inisiatif yang disediakan MARA kepada usahawan Bumiputera termasuk dalam kalangan ahli-ahlinya, yang secara langsung membantu meningkatkan kapasiti perniagaan dan daya saing.

 

“Antara inisiatif berimpak tinggi ialah program “Gate to Global MARA” yang membantu syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa serta memperkukuh kedudukan mereka di peringkat global.

 

“Penyertaan ahli dalam program tersebut telah memberikan impak signifikan termasuk membuka peluang eksport serta memperluas jaringan perniagaan di luar negara,” katanya.

 

Sehubungan itu, persatuan berkenaan berharap kerjasama strategik antara pihak industri dan MARA dapat terus diperkukuhkan, khususnya melalui libat urus yang lebih aktif dalam merangka dan melaksanakan dasar.

 

Pengilang berkata penglibatan pemain industri adalah penting bagi memastikan setiap inisiatif dan pembaharuan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan usahawan di peringkat akar umbi.

 

Persatuan itu yakin bahawa dengan komitmen berterusan kerajaan dan MARA serta sokongan padu sektor industri, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera mampu dipacu ke tahap lebih tinggi selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan berdaya saing di peringkat global. - DagangNews.com