Pengilang jangka kenaikan 5-10% dalam kos perbelanjaan disebabkan gaji minimum - FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengilang jangka kenaikan 5-10% dalam kos perbelanjaan disebabkan gaji minimum - FMM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mac — Hampir separuh daripada pengilang dalam tinjauan terbaharu Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) mengenai keadaan perniagaan menjangkakan peningkatan kos antara lima hingga 10 peratus pada 2025 disebabkan oleh gaji minimum lebih tinggi dan mandatori.
 

Malah mereka mendapati bahawa 26 peratus lagi menjangkakan lonjakan lebih daripada 10 peratus manakala 91 peratus pengilang menjangkakan kos upah memberi kesan kepada perbelanjaan operasi, namun selebihnya tidak melihat sebarang kesan.

 

Ia susulan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,700 berkuat kuasa pada 1 Februari 2025, dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2025, yang akan mewajibkan caruman dua peratus untuk pekerja asing, telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.


Tinjauan FMM, yang melibatkan 524 responden di seluruh negara, telah dijalankan dari 18 Disember 2024 hingga 17 Februari 2025 dengan bancian keyakinan perniagaan melalui Indeks Keadaan Perniagaan FMM (FMM BCI), meliputi prestasi sebenar pada separuh kedua 2024 dan prospek bagi separuh pertama 2025.


Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, walaupun pengilang secara am mengekalkan prospek yang agak stabil untuk keadaan dan pertumbuhan perniagaan pada 2025, keyakinan mereka terganggu oleh cabaran berterusan peningkatan kos input, yang telah dikenal pasti sebagai kebimbangan utama untuk tahun berikutnya.


Banyak pengeluar ujar beliau, berkemungkinan menyesuaikan situasi dengan melaraskan semula harga, mengoptimumkan kos atau meningkatkan produktiviti untuk mengimbangi tekanan kos berkaitan upah yang dijangkakan.


Cabaran utama lain yang dihadapi oleh pengeluar yang diketengahkan oleh tinjauan itu jelas beliau, termasuk isu persaingan yang semakin sengit dan permintaan yang lemah.


Jangkaan aktiviti perniagaan dalam kalangan pengeluar Malaysia kekal positif, dengan tumpuan kepada kestabilan walaupun menghadapi cabaran berterusan, menurut Thian Lai.


Beliau menambah bahawa walaupun keadaan dalaman dijangka bertambah baik, trend ekonomi dan industri yang lebih luas pula adalah kekal stabil, namun masih ada kebimbangan mengenai potensi kelembapan.


"Di sebalik tekanan ini, pengeluar kekal 'optimis secara berhati-hati' dengan jangkaan pelaburan modal masih stabil," tegas beliau.


Tinjauan FMM itu juga menekankan bahawa prospek pekerjaan kekal stabil, dengan peratusan responden menjangkakan peningkatan pengambilan pekerja meningkat kepada 22 peratus, meningkat daripada 18 peratus sebelumnya.


Majoriti iaitu 62 peratus pula menjangkakan tiada perubahan kepada tenaga kerja mereka, manakala 16 peratus meramalkan pengurangan pekerja, dengan mencadangkan trend seperti penstrukturan semula sektor atau peralihan kepada automasi.


Indeks pekerjaan kekal di atas 100, sekali gus mencerminkan keyakinan sederhana tanpa ada sebarang rancangan pengembangan yang agresif.


Keputusan dalam tinjauan semasa mencadangkan gabungan keyakinan dan berhati-hati, dengan tekanan kos, ketidaktentuan pasaran dan kecekapan operasi membentuk jangkaan keuntungan.


"Dengan tiada jangkaan yang ketara terhadap kerugian yang besar, sentimen keseluruhan kekal stabil dan berhemat, dengan perniagaan mungkin mengutamakan pengurusan kos dan kecekapan operasi," kata Thian Lai. - DagangNews.com