Penggunaan loji rendah, persaingan sengit sektor automotif dijangka jejas prestasi Tan Chong Motor - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penggunaan loji rendah, persaingan sengit sektor automotif dijangka jejas prestasi Tan Chong Motor - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Sept – Prestasi Tan Chong Motor Holdings Bhd dijangka kekal lemah dan mencatatkan kerugian berterusan dalam tempoh dua tahun akan datang, didorong oleh kadar penggunaan loji pemasangan yang kekal rendah.

 

Penganalisis pasaran juga sependapat tarikan produk yang lemah serta persaingan sengit dalam sektor automotif terus memberi tekanan kepada segmen automotif. 

 

Menurut Kenanga Research, hasil pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat menunjukkan bahawa loji Tan Chong di Segambut dan Serendah masih beroperasi jauh di bawah kapasiti sebenar.

 

“Tan Chong menjangkakan kerugian akan berterusan bagi dua tahun mendatang, disebabkan kadar penggunaan loji yang rendah. Kami menganggarkan kadar penggunaan semasa hanya sekitar 13%,” jelas firma penyelidikan itu.

 

Loji di Segambut mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 20,000 unit, melibatkan pemasangan trak ringan TQ Wuling, kenderaan GAC, serta model kenderaan elektrik (EV) TQ Wuling Bingo yang dirancang. 

 

Sementara itu, loji di Serendah mampu menghasilkan sehingga 45,000 unit kenderaan Nissan setahun.

 

Walaupun Tan Chong optimis berlaku peningkatan sederhana dalam prestasi, berikutan peningkatan kadar penggunaan loji apabila pengeluaran TQ Wuling Bingo dimulakan di Segambut bulan depan, namun firma penyelidikan itu memberi amaran akan cabaran yang bakal dihadapi.

 

Kenanga Research berkata pasaran EV sangat kompetitif, dengan perang harga yang semakin memuncak berpotensi memberi tekanan kepada margin keuntungan jika Tan Chong gagal mencapai skala pengeluaran yang optimum.

 

Firma itu turut menyuarakan kebimbangan pelancaran dua model Nissan baharu berasaskan teknologi terkini yang dijadualkan memasuki pasaran Malaysia pada tahun hadapan mungkin tidak mencapai sasaran.

 

“Pelancaran model baharu tahun depan mungkin tidak memberikan impak seperti diharapkan, memandangkan lambakan model pesaing, terutamanya EV dari China yang menawarkan harga permulaan yang sangat kompetitif,” katanya lagi.

 

Tambah firma itu, ketiadaan model baharu telah menjejaskan jualan Nissan secara langsung, dengan jualan tempatan Nissan menjunam 26% tahun ke tahun dalam separuh pertama tahun ini kepada hanya 3,395 unit, walaupun jumlah jualan kereta keseluruhan negara menunjukkan pertumbuhan positif.


  
Maybank IB pula berkata, prospek industri kekal suram, dengan tarikan produk yang lemah dan persaingan yang semakin sengit terus memberi tekanan kepada segmen automotif. 

 

Katanya, sebarang potensi penarafan semula (re-rating) mungkin disokong oleh pelancaran produk baharu atau kejayaan memperoleh kontrak pemasangan, namun kemungkinan kejayaan terhadap pemangkin ini masih terhad.

 

"Kami juga kekal NEUTRAL terhadap inisiatif pengewangan tanah syarikat, memandangkan hasil daripada penjualan aset digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan modal (capex) dan bukannya untuk pulangan kepada pemegang saham. Langkah ini boleh menjadi merosakkan nilai sekiranya kerugian terus berpanjangan," kata firma itu.

 

MBSB Research pula berkata  Tan Chong menunjukkan sedikit peningkatan dalam beberapa perkara utama disokong oleh pelancaran model pertama TQ Wuling yang dijangka berlangsung dalam 4Q25.

 

"Namun begitu, kami berpendapat bahawa pelancaran ini tidak akan menjadi pemacu volum yang signifikan dalam jangka masa terdekat," kata firma itu.

 

Menurut MBSB Research lagi, di peringkat serantau, pasaran Vietnam kekal sebagai titik cerah, terutamanya hasil daripada pengembangan GAC Motor. Ini memberi sedikit kelegaan kepada prestasi keseluruhan kumpulan.

 

"Walaupun terdapat perkembangan ini, kami mengekalkan harga sasaran pada RM0.34, berdasarkan unjuran PBVS FY26F sebanyak 0.1x, iaitu 1.5 sisihan piawai di bawah purata lima tahun, mencerminkan ketiadaan hala tuju pemulihan keuntungan yang jelas," kata firma itu.  - DagangNews.com