KUALA LUMPUR 22 Mei – Dayang Enterprise Holdings Bhd menjangkakan prestasi kewangan dan operasi yang lebih kukuh pada suku-suku akan datang selepas mencatat lonjakan keuntungan bersih sebanyak 74.8% bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), disokong peningkatan penggunaan kapal serta pelaksanaan aktiviti luar pesisir yang lebih aktif.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata ia merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM21.52 juta bagi 1QFY26 berbanding RM12.31 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan keuntungan itu sebahagian besarnya didorong oleh margin operasi yang lebih baik susulan penyiapan projek di bawah kontrak penyambungan dan pentauliahan (HUC) yang melibatkan kos operasi lebih rendah serta pengurangan kebergantungan terhadap penyewaan kapal pihak ketiga.
“Kadar penggunaan kapal turut menunjukkan peningkatan ketara kepada 45% berbanding 26% yang direkodkan setahun lalu.
“Peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh penggunaan lebih tinggi kapal AHTS berikutan kesinambungan projek dan limpahan kerja dari akhir 2025,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 14% kepada RM132.35 juta daripada RM153.82 juta sebelum ini berikutan pengurangan bilangan arahan kerja dan kontrak yang dilaksanakan di bawah segmen penyelenggaraan struktur atas pelantar.
Dayang berkata, permintaan berterusan daripada kempen luar pesisir yang masih aktif turut memanjangkan tempoh penggunaan aset marin syarikat sehingga suku pertama 2026.
Namun begitu, penggunaan kapal kerja penginapan (AWB) masih dipengaruhi gangguan musim monsun serta langkah kawalan kos oleh pelanggan susulan tekanan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Dalam pada itu, Dayang menjangkakan aktiviti luar pesisir kekal aktif sehingga awal suku keempat tahun ini sebelum bermulanya musim monsun, sekali gus menyokong keterlihatan hasil serta momentum operasi kumpulan.
Sehingga Mac 2026, nilai kontrak panggilan tertunggak kumpulan dianggarkan berjumlah RM4.78 bilion, memberikan sokongan kepada aliran pendapatan masa hadapan.
Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak tujuh sen sesaham, tidak berubah berbanding tahun lalu, dengan tarikh kelayakan ditetapkan pada 10 Jun 2026.
Mengulas prospek semasa, Dayang berkata pihak pengurusan kekal berhati-hati terhadap ketidaktentuan geopolitik global dan potensi gangguan rantaian bekalan, namun akan terus aktif membida peluang kontrak baharu selain meneroka segmen perniagaan bersebelahan secara terpilih bagi menyokong pertumbuhan jangka sederhana.
“Pengurusan kekal memberi tumpuan kepada peruntukan modal yang berdisiplin, kecekapan operasi dan pengurusan risiko berhemat dengan objektif untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com








