KUALA LUMPUR 7 April — Kegagalan tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) oleh Sunway Berhad ke atas IJM Corporation Berhad membuka semula persoalan dalam kalangan pelabur, menurut penganalisis.
Ini termasuk sejauh mana nilai sebenar saham kumpulan tersebut mampu berdiri secara sendiri, namun berpandangan kegagalan berkenaan turut memberi ruang untuk syarikat itu dapat muncul lebih kukuh.
MBSB Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas IJM dengan harga sasaran (TP) RM3.29 sesaham, disokong prospek pendapatan semakin baik susulan projek lama bermargin rendah yang hampir siap.
"Ia sudah meraih kontrak bernilai RM8.2 bilion setakat ini, dengan 50% ialah pusat data (DC), yang mengurangkan tekanan margin dan menyokong peningkatan keuntungan bagi suku akan datang," katanya.
Mengulas kegagalan VTO, firma penyelidikan berkenaan melihat perkembangan tersebut sebagai peluang untuk IJM melaksanakan strategi membuka nilai secara dalaman sebagai pemangkin pertumbuhan utama.
Antaranya kata MBSB Research, penyenaraian syarikat bersekutu, Hexacon Construction, pelupusan aset lebuh raya yang matang, penyusunan semula struktur aset berat dan keluar dari operasi di India.
"Selain itu, kontrak DC di Elmina bernilai RM658 juta daripada Sime Darby Berhad, mengukuhkan keterlihatan hasil bagi FY27, dengan jumlah keseluruhan projek kini lebih RM1.9 bilion," jelasnya.
Sementara itu, RHB Research turut berpendirian senada serta mengekalkan penarafan ‘beli’ ke atas saham IJM, malah menaikkan TP kepada RM3.43 sesaham dengan unjuran potensi kenaikan sekitar 45%.
Artikel berkaitan: Sunway gagal ambil alih IJM, hanya terima sokongan 33.43% pemegang saham

Menurutnya, kegagalan VTO yang hanya memperoleh 33.4% sokongan berbanding keperluan persetujuan lebih 50%, dilihat membolehkan kumpulan tersebut mengekalkan pelan strategik jangka panjangnya.
"Usaha tersebut meliputi penyenaraian perniagaan pembinaan, penstrukturan aset lebuh raya ke dalam amanah serta rasionalisasi dan keluar dari operasi India dalam masa dua atau tiga tahun," kata firma itu.
RHB Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan IJM bagi FY27 akan dipacu oleh faktor kepantasan pengebilan projek DC dengan 45% daripada buku tempahan domestik mencecah sebanyak RM8.2 bilion.
Kumpulan berkenaan juga tambah firma penyelidikan tersebut, dapat memberi fokus kepada pembangunan bersasar berbanding projek berskala besar serta pertumbuhan operasi Pelabuhan Kuantan di Pahang.
Selain itu, ia turut menekankan segmen industri IJM yang sering dipandang rendah, menyumbang 24% keuntungan sebelum cukai FY25 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 29% sejak FY21.
"Kami melihat potensi kontrak baharu daripada projek DC, selain peluang dalam projek infrastruktur besar seperti LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM5 hingga RM6 bilion," kata RHB Research.
Bagaimanapun, kedua-dua firma tersebut bersetuju antara risiko utama yang perlu dihadapi IJM termasuk kelembapan perolehan projek baharu serta tekanan kos bahan binaan yang berpanjangan.
Secara keseluruhan, penganalisis berkenaan bersepakat tanpa pengambilalihan oleh Sunway, IJM kini berada pada kedudukan lebih jelas untuk merealisasikan nilai asetnya secara berperingkat.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa, kumpulan tersebut dilihat masih berpotensi meningkatkan pulangan kepada pemegang saham dalam jangka sederhana. - DagangNews.com








