Pengendali butik mewah Gucci, Rolex dan Dior, Valiram miliki 40% ekuiti TRX Exchange Mall | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengendali butik mewah Gucci, Rolex dan Dior, Valiram miliki 40% ekuiti TRX Exchange Mall

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mei — Kumpulan peruncitan mewah terkenal, Valiram Group melengkapkan usaha pengambilalihan strategik dalam aset utama di Tun Razak Exchange (TRX) daripada Lendlease Group.

 

Menerusi transaksi yang dimuktamadkan semalam, pengendali butik jenama elit seperti Gucci, Rolex, Dior, Moncler dan Balenciaga itu, memperoleh pegangan 40% dalam gedung beli-belah The Exchange TRX.


Selain itu, kumpulan berkenaan turut mengambil alih sebanyak 60% kepentingan lagi dalam bangunan pejabat TRX Campus daripada firma pemaju hartanah yang berpangkalan di Australia tersebut.

 

 

 

 

 

 



Susulan pengambilalihan itu, Lendlease kini melepaskan sepenuhnya pegangannya dalam aset pejabat tersebut, manakala kepentingannya dalam pusat beli-belah The Exchange TRX dikurangkan kepada 20%.


Valiram yang ditubuhkan sejak 1935 di Kuala Lumpur, merupakan konglomerat perniagaan keluarga dengan kini mengendalikan lebih 350 gedung perniagaan melibatkan sejumlah lebih 250 jenama antarabangsa.  


Aset peruncitan kumpulan itu turut meliputi di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong, Macau, Taiwan dan Australia, di samping menguruskan pelbagai restoran mewah termasuk di Malaysia.


Pada Disember 2025, Lendlease mengumumkan pelan pelupusan pegangan bernilai kira-kira RM1.1 bilion dalam kedua-dua aset berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal syarikat.


The Exchange TRX dan TRX Campus merupakan sebahagian daripada pembangunan TRX Lifestyle Quarter seluas hampir tujuh hektar yang terletak dalam pelan induk TRX berkeluasan keseluruhan 28 hektar.

 

Langkah Strategik Valiram Pelbagaikan Portfolio Perniagaan

Kawasan pembangunan tersebut dibangunkan oleh TRX City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2010 sebelum dibuka secara berperingkat sejak 2023.


Dalam satu majlis bagi memperingati penyempurnaan transaksi tersebut, Pengarah Eksekutif Valiram, Ashvin Valiram berkata syarikat berkenaan teruja untuk bekerjasama dengan rakan kongsi baharunya itu.


Ia bukan sahaja dalam pengurusan pusat beli-belah tersebut, malah segala projek hartanah masa depan, namun beliau tidak mendedahkan sebarang perancangan khusus yang bakal dilaksanakan selepas ini.

 

 

 

 

 

 


Langkah baharu itu mengukuhkan pengembangan Valiram dalam sektor hartanah setelah mengambil alih Impiana KLCC Hotel pada harga RM315 juta daripada KLCC Holdings Sdn Bhd dan Magma Group Bhd.


Pemerhati industri melihat pelaburan dalam aset premium TRX itu sebagai langkah strategik Valiram untuk mempelbagaikan lagi portfolio perniagaan di luar segmen peruncitan mewah. - DagangNews.com