KUALA LUMPUR 7 April – Pengeluaran padi di Kelantan masih stabil walaupun berdepan keadaan cuaca kering dan fenomena El Nino, hasil daripada persediaan awal serta langkah mitigasi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.
Setakat ini, pengeluaran padi negeri Kelantan telah melepasi tahap Sara Diri (SSL), dengan anggaran hasil keseluruhan tidak menunjukkan penurunan ketara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata hampir 90 peratus kawasan penanaman padi telah dituai atau berada di peringkat akhir penuaian sebelum kemarau memuncak.
“Memang ada beberapa kawasan yang terjejas akibat kemarau namun kesannya tidak terlalu serius kerana langkah persediaan awal telah diambil oleh petani dan agensi berkaitan.
“Ada padi yang berbuah tetapi hasilnya tidak begitu baik, kurang lebat dan buah tidak banyak disebabkan kekeringan, namun secara keseluruhan keadaan masih terkawal,” katanya selepas merasmikan Bengkel Koperasi Pertanian Al Falah di Baruh Padi Alami, Kelantan.
Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Pertanian Negeri sedang mengumpulkan maklumat berkaitan kesan cuaca kering, termasuk impak terhadap petani dan pengeluaran hasil.
Kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia turut diperkukuh bagi memastikan maklumat perubahan cuaca dapat disalurkan kepada petani untuk membantu mereka merancang jadual penanaman dengan lebih berkesan.
Ini bagi mengelakkan proses pembenihan dan penanaman berlaku ketika cuaca terlalu kering.
Sebagai langkah intervensi, kerajaan negeri telah mengagihkan lebih 20 pam bergerak kepada petani melalui Pusat Khidmat DUN (PKD) dan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi menyedut air dari Sungai Kelantan dan mengalirkannya ke kawasan sawah.
Tambahnya, kenaikan harga diesel, baja dan racun memberi kesan kepada kos operasi pertanian, namun dengan kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pertanian, keadaan masih mampu dikawal.
Kerajaan negeri juga terus komited membantu petani melalui inisiatif bantuan Sejahtera Tani, katanya. - DagangNews.com








