KUALA LUMPUR 4 Mac – Pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka mencatat penurunan bulanan paling ketara dalam tempoh lebih setahun selepas banjir melanda negeri pengeluar utama, Sabah, sekali gus mengurangkan inventori dan berpotensi menyumbang kepada kenaikan harga sawit.
Menurut tinjauan Bloomberg yang merangkumi 12 anggaran daripada syarikat peladang, pedagang dan penganalisis, pengeluaran minyak sawit Malaysia pada Februari dijangka menurun 16% kepada 1.33 juta tan metrik.
Penurunan ini adalah yang terbesar sejak Januari 2025, iaitu penyusutan pengeluaran selama empat bulan berturut-turut.
Sabah, yang menyumbang kira-kira 20% daripada pengeluaran negara, terjejas teruk akibat hujan lebat dan banjir.
Selain itu, faktor musim pengeluaran rendah dan jumlah hari bekerja yang lebih singkat kerana cuti turut menyumbang kepada penurunan ini.
Inventori minyak sawit Malaysia juga merosot 6% daripada Januari kepada 2.65 juta tan, paras terendah dalam empat bulan, namun penyusutan inventori dihadkan oleh eksport yang lebih lemah.
Eksport dianggarkan menurun 20% bulan ke bulan kepada 1.19 juta tan, manakala import diunjurkan sebanyak 40,000 tan berbanding 32,316 tan pada Januari. Penggunaan domestik pula dianggarkan antara 250,000 tan hingga 450,000 tan.
Stok simpanan minyak sawit negara pernah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun pada Disember 2025, dan penurunan inventori kini dijangka menyokong harga sawit yang sebelum ini tertekan akibat permintaan eksport yang merosot dan ringgit yang kukuh.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia dijangka menerbitkan angka rasmi bulanan pada 10 Mac 2026.
Pelabur dan pemain pasaran minyak sawit kekal berhati-hati kerana perang di Iran menimbulkan kebimbangan terhadap aliran perdagangan global, kata Ketua Penyelidikan di Sunvin Group, Anilkumar Bagani yang berpangkalan di Mumbai.
Menurut tinjauan itu:
* Stok dianggarkan antara 2.48 juta dan 2.87 juta tan
* Pengeluaran antara 1.26 juta dan 1.42 juta tan
* Eksport antara 1.1 juta dan 1.28 juta tan








