KUALA LUMPUR 12 Ogos – X-FAB Silicon Foundries SE, pengeluar cip terkemuka dari Jerman memperluaskan operasi kilangnya di Sarawak dengan menambah pengeluaran bulanan wafer sebanyak 10,000 unit, menjadikan jumlah keseluruhan kini 40,000 unit sebulan berbanding 30,000 sebelum ini.
Ia melibatkan pembinaan bangunan dan bilik bersih (clean room) baharu yang siap pada akhir tahun lalu, diikuti dengan pemasangan dan pemeriksaan teknikal peralatan pada separuh pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif X-FAB, Rudi De Winter berkata, semua peralatan telah diterima dan sedang melalui pelbagai fasa pemasangan dengan pengeluaran secara berperingkat bagi teknologi 180nm CMOS dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025.
“Penambahan kapasiti ini adalah langkah strategik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang tinggi serta sokongan kepada perniagaan CMOS dan mikrosistem X-FAB pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam laporan kewangan suku kedua 2025, syarikat itu mencatatkan hasil jualan sebanyak AS$215.3 juta, meningkat 5% berbanding tahun sebelumnya.
Pembukaan rasmi kilang baharu itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September depan di Sama Jaya Free Industrial Zone, Kuching.
X-FAB Sarawak yang diasaskan sejak 1998 sebagai kilang semikonduktor pertama Malaysia kini mempunyai kira-kira 1,500 pekerja dan 90% daripadanya merupakan rakyat Sarawak.
Kilang ini telah berkembang dengan bergabung bersama X-FAB pada 2006 dan kini merupakan sebahagian daripada kumpulan pengeluar wafer global dengan enam fasiliti di Sarawak, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat.
Selain itu, beliau berkata, X-FAB juga melaksanakan pelan pengembangan tiga tahun bernilai lebih AS$1 bilion untuk kilang di Perancis dan Amerika Syarikat.
“Pelaburan ini memberi fokus kepada kapasiti teknologi 180nm CMOS yang sangat diminati pelanggan serta teknologi terkini seperti 110nm VCD-on-SOI di Perancis.
“Kapasiti tambahan ini penting untuk menyokong permintaan pelanggan dan prospek perniagaan yang kukuh. Namun, syarikat kini menghadapi cabaran dalam membuat jangkaan pesanan kerana pelanggan sering membuat tempahan pada saat akhir,” katanya.
Tempahan tertunggak X-FAB turut mencatat peningkatan kepada AS$412.9 juta pada suku kedua 2025, berbanding AS$386.7 juta pada suku sebelumnya, menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh untuk produk semikonduktor syarikat itu. - DagangNews.com








