Pengecualian cukai perkhidmatan 8% sewaan kapal terbang dan kapal elak pengusaha beralih ke luar negara - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian cukai perkhidmatan 8% sewaan kapal terbang dan kapal elak pengusaha beralih ke luar negara - MOF

(Gambar Hiasan)
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan bahawa pengecualian cukai perkhidmatan 8% bagi perkhidmatan sewaan dan pajakan komersial kapal terbang dan kapal dibuat secara senyap.

 

MOF dalam kenyataan menjelaskan, sebaliknya penetapan rasmi mengenai pengecualan itu telah dimuat naik di portal MySST Jabatan Kastam pada 24 Julai lalu.

 

“Pengecualian ini khusus untuk industri penerbangan dan maritim yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan, pelancongan dan ekonomi.

 

“Ia tidak terpakai bagi sewaan kenderaan seperti kereta, bas atau premis perniagaan kerana mempunyai kaedah penggunaan yang berbeza,” jelas kementerian itu.

 

MOF berkata, antara sebab utama pengecualian itu diberikan adalah bagi mengelakkan pemilik kapal terbang dan kapal daripada mendaftarkan aset mereka di luar negara.

 

“Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan menyebabkan penurunan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

 

Selain itu, kementerian turut menjelaskan bahawa negara-negara jiran lain tidak mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan tersebut.

 

“Tanpa pengecualian ini, pelanggan mungkin memilih untuk mendapatkan perkhidmatan sewaan kapal terbang dan kapal di luar negara,” katanya lagi.

 

Sebagai rekod, cukai perkhidmatan 8% bagi sewaan dan pajakan mula berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, melibatkan penyedia perkhidmatan yang memperoleh hasil sewaan melebihi RM1 juta setahun.

Namun, penyewa daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan kurang RM500,000 dikecualikan daripada cukai ini.  - DagangNews.com