Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dijangka muktamad sebelum PRU16, kata Azalina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dijangka muktamad sebelum PRU16, kata Azalina

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Mei — Keputusan mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dapat dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, menurut Datuk Seri Azalina Othman Said.


Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, pihaknya masih lagi menjalankan pelbagai kajian secara terperinci mengenai isu pemisahan tersebut.


“Saya harap sebelum PRU, kita boleh buat keputusan,” katanya berucap melancarkan Pelan Hala Tuju Keadilan Undang-undang AI 2025–2026 dan Laman Mikro Peta Pembaharuan Institusi di Universiti Malaya.


Kerajaan Madani kata beliau, ingin pengasingan kuasa itu dilaksanakan bagi menentukan peranan secara jelas Pendakwa Raya sebagai pendakwa manakala fungsi Peguam Negara pula selaku penasihat kepada kerajaan.


Azalina menambah, pejabatnya turut sedang mempertimbangkan beberapa elemen lain, termasuk mentakrifkan semula definisi kuasa nasihat oleh Peguam Negara kepada kerajaan.


Beliau berkata, pengasingan kuasa melibatkan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu diteliti secara keseluruhan, memandangkan Sabah dan Sarawak turut mempunyai kuasa pendakwaan mereka yang tersendiri.


Jawatankuasa Pilihan Parlimen katanya, juga akan meneliti segala aspek teknikal semasa kajian berhubung perkara berkenaan diteruskan.


"Saya berharap supaya kerajaan boleh membuat keputusan sebaik sahaja kita bersedia untuk membentangkan (keputusan)," kata Azalina.


Pada Mac 2025, beliau berkata, satu delegasi telah menjalankan kajian ketika lawatan di United Kingdom mengenai cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.


Katanya, ia menandakan fasa terakhir kajian, berikutan lawatan ke Kanada dan Australia pada 2024 bagi meneliti secara terperinci model dilaksanakan sebagai rujukan amalan terbaik serta mengenal pasti rangka kerja sesuai untuk Malaysia. - DagangNews.com