Pengasas bersama UOA Group, CS Kong meninggal dunia pada usia 85 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengasas bersama UOA Group, CS Kong meninggal dunia pada usia 85 tahun

Kong Chong Soon atau lebih dikenali sebagai CS Kong meninggal dunia pada usia 85 tahun
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei – Pengasas bersama UOA Group dan Pengarah Urusan UOA Development Bhd, Kong Chong Soon atau lebih dikenali sebagai CS Kong meninggal dunia pada usia 85 tahun pada 27 Mei 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA Development berkata pemergian beliau adalah kehilangan seorang tokoh penting dalam industri pembangunan hartanah negara yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan syarikat serta landskap pembangunan Kuala Lumpur.

 

Pengerusi UOA Development, Kong Pak Lim berkata CS Kong telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, integriti dan kepimpinan yang konsisten sepanjang tempoh beliau menerajui syarikat sebagai Pengarah Urusan.

 

Menurut beliau, sumbangan CS Kong terhadap pertumbuhan, tadbir urus serta kejayaan jangka panjang syarikat adalah besar dan memberi kesan berpanjangan kepada kumpulan.

 

“Beliau banyak memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik syarikat serta memastikan UOA kekal kukuh dalam industri,” katanya dalam makluman tersebut.

 

UOA Development turut memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, pekerja dan rakan niaga bahawa operasi serta struktur tadbir urus syarikat kekal stabil dan tidak terjejas.

 

Syarikat itu menegaskan pengurusan sedia ada akan terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelancaran operasi harian dan pelaksanaan projek.

 

Susulan pemergian itu, Kong Pak Lim akan memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan interim bagi tempoh sementara sehingga pelantikan pengganti baharu dibuat.

 

Pelantikan pengganti dijangka diumumkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan akan datang selepas proses penilaian dalaman dijalankan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, lembaga pengarah akan mengumumkan sebarang perubahan struktur pengurusan dari semasa ke semasa mengikut keperluan syarikat.

 

CS Kong merupakan antara individu penting yang mengasaskan United Overseas Australia Ltd pada tahun 1987 bersama Kong Pak Lim, sebelum mengembangkan operasi kumpulan di Malaysia.

 

Sepanjang lebih empat dekad penglibatan beliau dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah, CS Kong memainkan peranan besar dalam membangunkan pelbagai projek kediaman, komersial dan industri, khususnya di Kuala Lumpur.

 

Beliau turut mempunyai pengalaman luas di Malaysia dan Singapura, termasuk pernah terlibat dalam beberapa projek hospitaliti utama pada awal kerjayanya di Singapura pada era 1970-an dan 1980-an. - DagangNews.com