Penganalisis unjurkan harga minyak sawit mentah mencecah RM4,500 susulan penyusutan bekalan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis unjurkan harga minyak sawit mentah mencecah RM4,500 susulan penyusutan bekalan

Foto kredit Palm Oil Magazine
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilSektor perladangan berdepan risiko penyusutan bekalan dan tekanan dasar biodiesel ketika Indonesia mempercepat pelaksanaan mandat biodiesel B50 bermula 1 Julai 2026.


Menurut penganalisis, langkah tersebut sebenarnya turut berpotensi mengubah keseimbangan pasaran minyak sawit mentah (MSM) global dan melonjakkan harga komoditi itu mencecah RM4,500 setiap tan.


Dua firma penyelidikan berpandangan perkembangan ini memberi sokongan kukuh kepada MSM, namun turut memberi amaran terhadap risiko turun naik harga akibat faktor geopolitik dan dasar kerajaan.


CGS International (CGSI) mengekalkan pendirian 'overweight' ke atas sektor perladangan, dengan jangkaan pelaksanaan mandat B50 akan meningkatkan permintaan global terhadap minyak sayuran.


"Langkah Indonesia mempercepatkan pelaksanaan B50 mencerminkan keutamaan negara itu memperkukuh keselamatan tenaga serta mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api fosil," katanya.


Dengan mandat B50 jelasnya, penggunaan minyak sawit untuk biodiesel dijangka meningkat sebanyak 1.7 juta tan kepada 15.6 juta tan pada 2026, bersamaan kira-kira 18% daripada penggunaan global.


Permintaan tinggi ini dijangka mengetatkan bekalan eksport minyak sawit, serta menyokong harga minyak sayuran, terutama apabila negara pengeluar utama meningkatkan penggunaan domestik.


CGSI mengekalkan unjuran harga MSM pada RM4,500 satu tan bagi 2026, disokong oleh faktor seperti mandat biofuel global, potensi fenomena cuaca El Niño serta gangguan pengeluaran di Indonesia.


"Dalam konteks pelaburan, kami menggemari pemain huluan seperti Ta Ann Holdings Berhad dan Hap Seng Plantations Holdings Berhad yang dijangka mencatat harga jualan MSM lebih tinggi," katanya.


Selain itu, SD Guthrie Berhad turut dilihat firma penyelidikan tersebut sebagai penerima manfaat utama susulan skala ladang yang besar diuruskannya serta usaha pengewangan aset bukan teras.


Bagaimanapun, CGSI mengingatkan isu tahap kemampanan dana MSM di Indonesia kekal menjadi faktor kritikal, dengan risiko penurunan harga gasoil boleh meningkatkan lagi beban subsidi biodiesel.


perladangan_DagangNews

RHB Research pula menegaskan harga saham syarikat perladangan ketika ini masih belum mencerminkan potensi kenaikan harga MSM dengan kebanyakan masih mengambil kira harga di bawah RM4,400 satu tan.


"Kami mengekalkan pandangan positif secara taktikal ke atas sektor ini, disokong lonjakan harga minyak mentah global serta konflik geopolitik yang meningkatkan daya tarikan biodiesel," katanya.


Harga MSM tambah firma berkenaan, sudah meningkat sekitar 19% sejak tercetusnya konflik di Timur Tengah, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah dunia yang melonjak 46% dalam tempoh sama.


Justeru, RHB Research turut menekankan situasi peningkatan mandat biofuel global, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Argentina dan Thailand, akan terus menyokong permintaan minyak sayuran.


Di Malaysia, cadangan pelaksanaan semula mandat biodiesel B20 juga dilihat berpotensi meningkatkan penggunaan domestik MSM kepada sekitar 2.8 juta tan, berbanding 1.3 juta tan di bawah mandat B10.


"Antara pilihan utama kami termasuk Johor Plantations Group Berhad, Sarawak Oil Palms Berhad, IOI Corporation Berhad, PPB Group Berhad, SD Guthrie Berhad dan First Resources Limited," katanya.


Firma berkenaan namun memberi amaran mengenai masalaah turun naik harga komoditi akibat risiko geopolitik yang kekal sebagai faktor utama serta perlu diberikan perhatian serius oleh pelabur.


Secara keseluruhan, RHB Research bersetuju peningkatan mandat biodiesel global menjadi pemacu utama sektor perladangan, namun Malaysia perlu bertindak bagi kestabilan daya saing. - DagangNews.com