KUALA LUMPUR 16 Julai — Langkah Life Water Berhad mengambil alih 90% ekuiti dalam tiga syarikat makanan berpangkalan di Sabah dilihat mampu meningkatkan hasil syarikat, menurut penganalisis.
Mereka bersetuju, usaha itu mempercepatkan transformasi kumpulan daripada hanya pengeluar air minuman kepada pemain barangan pengguna asas (FMCG) secara lebih menyeluruh dalam jangka panjang.
PublicInvest berkata, pengambilalihan itu membolehkan syarikat memperluaskan portfolio melangkaui perniagaan, selain memanfaatkan rangkaian pengedaran sedia ada yang kukuh di Sabah dan Sarawak.
"Tiga syarikat itu terlibat dalam pengimportan dan pengedaran beras, mi beras, produk makanan, pembuatan sos dan perasa serta pengeluaran mi dan pes kacang merah," jelasnya dalam nota analisis.
Berdasarkan keputusan teraudit FY25 ujarnya, ketiga-tiga syarikat mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM7.6 juta dengan Hung Tai Enterprise muncul sebagai penyumbang terbesar.
Menurut PublicInvest, urus niaga itu disokong jaminan keuntungan dua tahun sebanyak RM7.5 juta setahun, hampir menyamai rekod FY25, menjadikan 6.8 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E).
Justeru, ia menaikkan unjuran keuntungan Life Water bagi FY27 dan FY28 masing-masing 7% hingga 12% serta mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.72 sesaham.
Artikel berkaitan: Life Water ceburi sektor makanan, ambil alih 3 syarikat di Sabah berjumlah RM47 juta

"Meskipun kadar penggearan proforma meningkat daripada 0.5 kali kepada 0.6 kali, syarikat dijangka meraih manfaat logistik, dan kepelbagaian sumber rangkaian pengedaran lebih besar," tambahnya.
Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan pengambilalihan akan mengukuhkan lagi kedudukan dalam segmen FMCG, selain meningkatkan pendapatan sesaham sebanyak 10.3% bagi FY27 dan 10.2% bagi FY28.
Firma itu berkata, Life Water memiliki kelebihan merealisasikan sinergi jualan silang menerusi rangkaian lebih 90 lori pengedaran serta 5,000 lokasi pelanggan di seluruh Sabah dan Sarawak.
Kumpulan tersebut juga katanya, boleh memanfaatkan segala kemudahan pembuatan serta jenama milik Hung Tai untuk memperluaskan lagi penawaran pelbagai produknya dengan pasaran yang lebih luas
"Keputusan vendor mengekalkan pegangan 10% dan terus mengurus operasi lima tahun akan datang dijangka memastikan kesinambungan perniagaan selepas pengambilalihan siap," ujar CIMB Securities.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM1.77 sesaham kerana percaya langkah itu memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjang Life Water, dan meningkatkan daya saing syarikat. - DagangNews.com








