Life Water ceburi sektor makanan, ambil alih 3 syarikat di Sabah berjumlah RM47 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Life Water ceburi sektor makanan, ambil alih 3 syarikat di Sabah berjumlah RM47 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 JulaiLife Water Berhad kini bukan lagi sekadar pemain industri air minuman botol, sebaliknya sudah bersedia menceburi pasaran makanan ruji melalui pelaburan strategik jutaan ringgit.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut mengumumkan pemeteraian perjanjian jual beli saham (SSA) untuk mengambil alih 90% pegangan ekuiti dalam tiga buah syarikat tempatan.

 

Ia melibatkan Hung On Thong Mini Supermarket Sdn Bhd (HOTMS), Hung Tai Enterprise (Sabah) Sdn Bhd (HTE), dan Kilang Mee Ban Soon Sdn Bhd (KMBS) dengan jumlah pertimbangan tunai RM46.8 juta.

 

"Langkah korporat ini menyaksikan Life Water menguasai rantaian nilai makanan lebih luas, meliputi aktiviti pengimportan beras dan mi beras, pembuatan kicap, sos, mi, serta perniagaan makanan haiwan," katanya.

 

Pengambilalihan ini dijangka memperkukuh kedudukan kumpulan dalam sektor barangan pengguna dengan memanfaatkan keupayaan pembuatan dan rangkaian pengedaran sedia ada yang menjangkau pasaran.

 

Lembaga Pengarah menyifatkan pelaburan ini sebagai satu platform tambahan untuk pertumbuhan mampan yang membolehkan syarikat mempelbagaikan sumber hasil melampaui perniagaan air botol sedia ada.

 

Life Water_DagangNews2026

 

Ujar Life Water, dari segi struktur pembiayaan, transaksi ini akan dibiayai melalui kombinasi 50% dana janaan dalaman dan 50% lagi melalui pinjaman bank, yang masing-masing berjumlah RM23.4 juta.

 

"Jaminan keuntungan tahunan turut diberikan apabila mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sekurang-kurangnya RM7.5 juta setahun bagi tempoh dua tahun kewangan yang akan datang," tambahnya.

 

Berdasarkan rekod kewangan teraudit berakhir 31 Disember 2025, HTE muncul penyumbang terbesar keuntungan bersih RM5.6 juta, manakala KMBS dan HOTMS masing-masing RM1.6 juta dan RM0.4 juta.

 

Menyentuh prospek masa depan, Life Water yakin permintaan untuk produk makanan ruji seperti beras dan mi kekal berdaya tahan dan konsisten, didorong oleh pertumbuhan populasi di Sabah dan Sarawak.

 

Cadangan pengambilalihan ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh SSA. - DagangNews.com