KUALA LUMPUR 15 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa tiga beradik di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menjalankan aktiviti urus niaga sekuriti tanpa lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang sah.
SC dalam satu kenyataan berkata, Anuar Hassan, Mohd Amin Hassan dan Amir Hassan didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), termasuk pertuduhan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail, Mohd Amin didakwa atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan urus niaga sekuriti tanpa lesen dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin warga Malaysia.
Beliau turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri setiap bulan kepada Pegawai Penyiasat SC.
Dalam prosiding berasingan, Anuar dan Amir berdepan dua pertuduhan bersama di bawah Seksyen 58(1) CMSA yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Kedua-duanya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta dikenakan syarat tambahan yang sama.
Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus, Mohd Amin dan Amir masing-masing didakwa atas satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 58(1) CMSA yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Amir turut berdepan dua lagi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 58(1) CMSA dan diberikan jaminan sebanyak RM30,000.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Surita Budin pula, Anuar dan Mohd Amin didakwa atas satu pertuduhan bersama di bawah Seksyen 58(1) CMSA yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000.
Anuar turut menghadapi satu lagi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 58(1) CMSA dengan jumlah jaminan RM30,000.
Ketiga-tiga Tertuduh Mengaku Tidak Bersalah
Menurut SC, kesemua pertuduhan berkaitan dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka menjalankan perniagaan urus niaga sekuriti tanpa memiliki Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara Mac hingga Oktober 2019 di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Johor.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
SC mengingatkan bahawa urus niaga sekuriti merupakan aktiviti yang dikawal selia di bawah CMSA dan hanya individu atau entiti yang mempunyai lesen sah dibenarkan menawarkan perkhidmatan berkaitan pasaran modal.
Sehubungan itu, pelabur disaran supaya membuat semakan terlebih dahulu melalui portal SC Investment Checker sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan bagi memastikan individu atau syarikat yang menawarkan produk serta perkhidmatan pasaran modal diberi kuasa oleh SC. - DagangNews.com








