KUALA LUMPUR 4 Mac – Prestasi Southern Score Builders Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 mencetuskan kebimbangan susulan pencapaian keuntungan yang memenuhi 27% daripada ramalan.
Perkembangan lemah tersebut sekali gus mendorong penganalisis melakukan semakan semula anggaran pendapatannya, berikutan kelewatan kemajuan bil projek hartanah serta penyusutan margin.
Bilangan projek aktif lebih rendah dikenal pasti sebagai faktor utama yang menekan prestasi kumpulan, walaupun hasil melonjak kukuh disokong sumbangan segmen mekanikal dan elektrikal (M&E).
Bagi tempoh enam bulan berakhir FY26, Southern Score merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM21.7 juta hingga RM22 juta, dengan hasil meningkat kira-kira lebih 120% tahun ke tahun (YoY)
TA Securities namun menyifatkan keputusan 1HFY26 sebagai di bawah jangkaan, apabila keuntungan itu hanya merangkumi 27.2% daripada unjuran tahun penuhnya dan 28.6% daripada anggaran konsensus.
"Kelewatan pelaksanaan projek tertentu memperlahankan kadar buku tempahan, selain margin kasar pula susut kepada 24.1% pada 2QFY26 berbanding 30.7% pada suku sebelumnya," kata firma itu.
Justeru, ia menurunkan unjuran pendapatan FY26 sebanyak 21.2%, namun menaikkan anggaran FY27 dan FY28 masing-masing 1.8% dan 3.9%, mengambil kira pengiktirafan hasil ditangguh ke tahun berikut.
Setakat ini, Southern Score memiliki buku tempahan terkumpul berjumlah RM1.44 bilion, bersamaan 6.5 kali ganda hasil FY25, memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tiga tahun akan datang.
Selain itu TA Securities, turut melihat potensi kontrak baharu termasuk projek Hospital Ayer Keroh bernilai kira-kira RM200 juta daripada Radium Development Berhad serta beberapa projek kediaman.
"Kami mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 83 sen sesaham, berdasarkan penilaian unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) 16 kali bagi CY27," katanya.
Sementara itu, Phillip Capital Research berpendapat keputusan 6MFY26 adalah dalam jangkaan, dengan keuntungan teras meningkat 21% YoY melalui sumbangan kukuh segmen M&E melalui anak syarikatnya.
Walaupun margin kasar menyusut 8 mata peratusan kepada 23.2%, firma itu menjangkakan momentum hasil bertambah baik pada 2HFY26, dipacu bil kemajuan projek daripada buku tempahan RM1.4 bilion.
Firma itu menjangkakan kira-kira RM360 juta pendapatan diiktiraf daripada projek pembinaan sedia ada, manakala kerja-kerja anak syarikat pula akan diiktiraf sepenuhnya menjelang akhir FY26.
"Buku tender Southern Score ketika ini dianggarkan sekitar RM1 bilion, merangkumi projek pusat data (37%), kediaman (31%) dan bangunan berkaitan kerajaan (31%)," kata Phillip Capital lagi.
Jelasnya, permintaan kerja M&E diperoleh SJEE Engineering Sdn Bhd yang membabitkan pelbagai tender pembangunan pusat data (DC) dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan utama bagi kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP yang masih tidak berubah iaitu 75 sen, berdasarkan penilaian nisbah harga 18 kali ke atas unjuran hasil pada FY27.
Secara keseluruhan, walaupun prestasi 1HFY26 menimbulkan persoalan terhadap kadar pengiktirafan hasil jangka pendek, Phillip Capital optimis terhadap prospek jangka sederhana. - DagangNews.com








