KUALA LUMPUR 12 Mac — Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal disokong sekitar RM4,000 satu tan dan berpotensi meningkat hingga RM4,500 satu tan dalam tempoh terdekat, menurut penganalisis.
Perkembangan positif itu jelas mereka, dipacu oleh kitaran pengeluaran rendah bermusim, aktiviti penambahan stok menjelang musim perayaan serta daya saing harga berbanding minyak sayuran lain.
Dua firma penyelidikan berkata, faktor geopolitik global, kenaikan harga tenaga serta permintaan biodiesel turut menyokong prospek harga MSM walaupun tahap inventori masih lagi dianggap tinggi.
Antaranya Phillip Capital yang merujuk inventori minyak sawit Malaysia ada Februari 2026 susut kepada 2.7 juta tan, menandakan penurunan bulan kedua berturut-turut susulan pengeluaran rendah.
"Harga MSM tempatan yang dihantar meningkat kepada RM4,077.50 satu tan pada Februari 2026, naik 1.5% bulan ke bulan (MoM), walaupun masih lebih rendah berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Ia menjangka harga MSM berpotensi ada lantunan sehingga RM4,500 satu tan, disokong oleh aktiviti pembelian oleh pembeli utama seperti China dan negara Islam menjelang musim perayaan utama.
Phillip Capital menambah, ketegangan geopolitik terutama di rantau Asia Barat, boleh menjejaskan perdagangan baja dan meningkatkan permintaan biodiesel yang berasaskan campuran minyak sawit.
Walaupun begitu jelas firma tersebut, pengeluaran secara tahunan (YoY) kekal kukuh dengan jumlah 2.86 juta tan bagi dua bulan pertama 2026, meningkat 18% berbanding tempoh pada sama tahun lalu.

"Kami menjangkakan pengeluaran normal 19.8 juta tan pada 2026, dan mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan andaian harga purata RM4,200 satu tan bagi tahun ini," katanya.
Sementara itu, AmInvestment Bank mengekalkan unjuran harga purata MSM sekitar RM4,400 satu tan dengan merujuk isu pengurangan inventori sebahagiannya disebabkan hari bekerja yang lebih pendek.
Tambahnya, pengeluaran MSM negara turun kira-kira 18.5% MoM kepada sekitar 1.3 juta tan, dengan penurunan direkodkan di semua wilayah utama terutama Sabah apabila susut tertinggi iaitu 22.6%.
Bagaimanapun jelas firma penyelidikan tersebut, secara YoY pula, pengeluaran bagi dua bulan pertama tahun ini adalah meningkat secara kukuh kepada 2.9 juta tan, iaitu naik hampir 18%.
"Kami menjangkakan inventori terus menyusut dalam tempoh yang terdekat, dipacu oleh permintaan tinggi semasa bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri," kata AmInvest dalam analisisnya.
Kenaikan harga minyak mentah global dan kemungkinan peningkatan dasar mandat biodiesel di Amerika Syarikat (AS) dijangka menyokong harga minyak soya, serta memberi kesan positif kepada harga MSM.
Selain itu, firma tersebut turut menekankan India sebagai pasaran import utama yang sensitif kepada harga, dijangka terus memilih minyak sawit selagi harganya murah berbanding minyak soya.
Bagi pendedahan sektor, AmInvest memilih beberapa saham perladangan termasuk SD Guthrie Berhad, Johor Plantations Group, Genting Plantations dan Kim Loong Resources. - DagangNews.com








