KUALA LUMPUR 16 Mac – Lonjakan harga minyak mentah global yang memberi tekanan kepada kos bahan mentah resin dikhuatiri menjadi cabaran utama kepada margin operasi Scientex Berhad tahun ini.
Menurut penganalisis, situasi berkenaan dibimbangi boleh menjejaskan segmen pembungkusan fleksibel syarikat itu apabila kesan peningkatan dirasai pada tempoh separuh kedua tahun kewangan 2026.
Ketidaktentuan geopolitik global yang menyumbang kenaikan mendadak harga minyak mentah berpotensi meningkatkan kos bahan mentah utama seperti polyethylene, dan menekan margin pengeluar plastik.
Bagaimanapun, mereka menilai prestasi Scientex bagi separuh pertama FY26 masih dilihat stabil dengan sokongan daripada pertumbuhan segmen hartanah dan peningkatan margin segmen pembuatan.
Antaranya, RHB Research yang mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) RM3.60, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 4% daripada paras semasa.
"Keuntungan teras bagi separuh pertama FY26 meningkat 10% tahun ke tahun (YoY) kepada RM281 juta, bersamaan kira-kira 53% hingga 54% daripada unjuran keuntungan setahun penuh," katanya dalam nota.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi pada suku kedua FY26 menunjukkan keuntungan teras Scientex yang hampir tidak berubah secara suku ke suku (QoQ) tetapi meningkat kira-kira 11% (YoY).
Segmen pembungkusan jelas RHB Research, mencatat hasil yang mendatar pada separuh pertama FY26 dengan kadar penggunaan kapasiti sekitar 62%, iaitu sedikit lebih tinggi berbanding 60% pada FY25.
Keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi segmen itu naik 32%, dipacu campuran jualan serta peningkatan kecekapan operasi, dan meningkatkan margin kepada 7.7% berbanding 5.8% setahun lalu.
"Bagi segmen hartanah pula, EBIT meningkat 8% YoY, disokong kemajuan daripada pelbagai pembinaan projek sedia ada serta permintaan yang stabil bagi pelancaran baharu," tambah firma berkenaan.
RHB Research namun berkata kenaikan harga minyak mentah yang meningkat sehingga 36% dalam tempoh seminggu boleh menyebabkan tekanan margin sekiranya kos bahan mentah didapati terus meningkat.
Justeru, ia menjangkakan tekanan margin pada separuh kedua FY26 sekiranya kos bahan mentah terus meningkat, walaupun syarikat tersebut mungkin memindahkan sebahagian kos kepada pelanggan.

Sementara itu, TA Securities masih lagi mengekalkan penarafan 'beli' terhadap Scientex dengan TP RM5.00 sesaham yang tutut tidak berubah, berdasarkan kepada penilaian 'sum-of-parts' (SOP).
"Kami menyifatkan keuntungan teras bagi separuh pertama FY26 berjumlah RM280.8 juta, mewakili 47% daripada unjuran setahun penuh dan 49% daripada jangkaan konsensus," kata firma penyelidikan itu.
Keuntungan teras pada suku kedua jelasnya, adalah meningkat kukuh kira-kira 11.4% YoY kepada RM139.8 juta, walaupun pendapatan hanya berkembang sebanyak 2.8% kepada sejumlah RM1.1 bilion.
Prestasi lebih kukuh itu tambah TA Securities, didorong oleh pengembangan margin dalam segmen pembuatan serta ketahanan segmen hartanah yang menbantu Scientex untuk terus kekal berdaya saing.
Dalam segmen pembuatan, EBIT meningkat hampir 20% kepada RM50.4 juta, disokong campuran jualan, pengoptimuman kos serta peningkatan kecekapan operasi, yang meningkatkan margin EBIT kepada 8.0%.
"Bagi segmen hartanah, EBIT naik 6.9% kepada RM142.3 juta dengan hasil bertambah 7.3% kepada RM509 juta dipacu kemajuan projek sedia ada dan kadar pengambilan bagi pelancaran baharu," katanya.
TA Securities berkata, kadar pengambilan purata bagi pelancaran projek Scientex pada separuh pertama FY26 mencapai 51%, iaitu lebih tinggi berbanding sekitar 40% pada tempoh sama tahun lalu.
Sepanjang tempoh enam bulan tersebut, Scientex melancarkan sejumlah 11 projek melibatkan 2,576 unit kediaman di tujuh negeri dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah sekitar RM890 juta.
Menjelang separuh kedua FY26, kumpulan itu menyasarkan pelancaran projek baharu dengan GDV RM2.1 bilion, menjadikan jumlah bagi FY26 sekitar RM3.0 bilion, naik berbanding RM2.6 bilion pada FY25.
"Kami menjangka segmen hartanah terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan unjuran peningkatan jualan 16.8% YoY pada FY26, disokong jualan belum dibil sebanyak RM2.0 bilion," katanya. - DagangNews.com








