Penganalisis: Kemerosotan pelancong perubatan punca operasi IHH Healthcare di Singapura perlahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Kemerosotan pelancong perubatan punca operasi IHH Healthcare di Singapura perlahan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 Mei — Prestasi operasi IHH Healthcare Berhad di Singapura semakin perlahan dan mula menjadi perhatian pasaran apabila permintaan pelancongan perubatan dilihat terus merosot.

 

Tambah penganalisis, situasi kumpulan itu diburukkan lagi apabila pesakit warga tempatan mula beralih ke hospital-hospital awam susulan perubahan polisi insurans kesihatan negara berkenaan.


Bagaimanapun, mereka kekal optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan penjagaan kesihatan itu dengan menjangkakan pemulihan lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26).


CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham IHH Healthcare dengan harga sasaran (TP) RM9.85, manakala Phillip Capital pula tidak mengubah syor 'beli' dengan TP RM11.03.


"Prestasi operasi Singapura pada suku pertama FY26 terjejas akibat garis panduan baharu insurans kesihatan meningkatkan bayaran sendiri pesakit bagi mendapatkan premium lebih rendah," kata CGSI.


Selain itu ujar firma tersebut, permintaan aktiviti pelancongan perubatan dari Indonesia turut lemah berikutan tambang penerbangan mahal dan penyusutan nilai rupiah berbanding dolar Singapura.


IHH Healthcare katanya, dibebankan lagi oleh penyiapan kerja naik taraf di Mount Elizabeth Orchard yang kemungkinan menyebabkan penggunaan kapasiti hospital kurang optimum dalam tempoh 1QFY26.


Bagaimanapun, pihak pengurusan kini bekerjasama dengan syarikat insurans bagi menawarkan pakej yang kompetitif dan memperluaskan perkhidmatan luar hospital seperti pusat rawatan ambulatori.


"Ini meningkatkan kemampuan pesakit, selain ia juga menembusi pasaran pelancongan perubatan baharu seperti Kemboja dan Filipina bagi mengurangkan kebergantungan kepada Indonesia," jelas CGSI lagi.


 

IHH Healthcare_DagangNews2026



Bagi 1QFY26, IHH Healthcare mencatatkan pertumbuhan hasil 4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM6.6 bilion, manakala hasil kasar naik 6.9% disokong prestasi yang kukuh di Malaysia serta Turkiye.


Secara asas mata wang tetap, CGSI berkata, hasil kumpulan tersebut sebenarnya berkembang sekitar 16% YoY, namun pengukuhan ringgit dilihat sedikit mencairkan prestasi keseluruhan yang dilaporkan.


Phillip Capital pula dalam analisisnya berkata, keuntungan bersih teras kumpulan itu meningkat 8% kepada RM459 juta selepas mengecualikan item luar biasa berkaitan inflasi keuntungan perakaunan.


"Kami juga menyifatkan keputusan kewangan bagi suku pertama tersebut sebagai masih lagi menepati jangkaan kerana merangkumi sekitar 20% hingga 22% daripada unjuran penuh tahun," kata firma itu.


Menurutnya, prestasi di Malaysia sedikit perlahan secara suku ke suku (QoQ) akibat faktor bermusim dan kesan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Puasa menjejaskan kemasukan pesakit.


Pada masa sama, operasi di Singapura merekodkan penurunan hasil sebanyak 6% QOQ susulan permintaan pelancongan perubatan yang lebih perlahan dan peralihan pesakit kepada sistem kesihatan awam.


Walaupun begitu, Phillip Capital percaya IHH Healthcare akan mengekalkan momentum pertumbuhan disokong perluasan kapasiti hospital, peningkatan jumlah pesakit dan permintaan pembedahan stabil.


"Justeru, kami berpandangan, operasi di Singapura dijangka pulih pada separuh kedua FY26 sekali gus membantu meningkatkan keuntungan kumpulan secara keseluruhan," katanya. - DagangNews.com