Penganalisis kekal pendirian positif ke atas Duopharma susulan keputusan kewangan FY25 mengatasi jangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis kekal pendirian positif ke atas Duopharma susulan keputusan kewangan FY25 mengatasi jangkaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Dua firma penyelidikan mengekalkan pendirian positif terhadap saham Duopharma Biotech Berhad selepas keputusan kewangan bagi FY25 mengatasi jangkaan mereka sendiri.


Menurut penganalisis, prestasi luar jangka pada suku keempat FY25 turut melonjakkan keuntungan tahunan kumpulan tersebut, disokong pengembangan margin dan permintaan kukuh di pasaran swasta.


Bagaimanapun, mereka mengingatkan risiko kos buruh serta potensi perubahan struktur kontrak pembekalan Kementerian Kesihatan masih menjadi faktor yang perlu dipantau menjelang FY26.


Antaranya, CGS International (CGSI) yang mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM1.74 berasaskan model Gordon Growth (GGM) ke atas saham Duopharma.


"Keuntungan bersih teras kumpulan bagi FY25 meningkat 55.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM97.4 juta, bersamaan 113% dan 108% daripada unjuran mereka dan konsensus Bloomberg," kata firma itu.


Bagi 4Q25, keuntungan teras melonjak 91.8% YoY kepada RM28.9 juta, dipacu peningkatan jualan produk antiviral selesema yang membantu dalam mengimbangi kelemahan bermusim jualan sektor kerajaan.


Margin untung kasar jelas CGSI, turut berkembang kepada 17.4% pada suku tersebut, meningkat 6.1 mata peratusan YoY, disokong pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).


Kelebihan ini tambahnya, menurunkan kos bahan aktif farmaseutikal (API) serta kecekapan operasi lebih baik, dan mengisytiharkan dividen 3.05 sen sesaham bagi 4Q25, melebihi jangkaan firma itu.


"Bagi FY26, kami mengunjurkan pertumbuhan hasil 14.8% YoY dengan penilaian semasa 14.1 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26 menarik berbanding purata tiga tahun sebelum pandemik Covid-19.


Sementara itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan TP sesaham baharu RM1.69 berbanding RM1.65 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan kira-kira 15% dan hasil dividen sekitar 4%.


Firma itu berkata, selepas melaraskan keuntungan pertukaran asing belum direalisasi dan rosot nilai aset tidak ketara, keuntungan bersih teras FY25 berjumlah RM97 juta, 105% daripada unjuran mereka.


Pendapatan Duopharma bagi tempoh 4Q25 meningkat kira-kira 16% YoY dan 1% suku ke suku (QoQ), yang menongkah kelemahan bermusim sektor awam, didorong permintaan pasaran swasta secara lebih kukuh.


"Margin kasar kumpulan tersebut berkembang kepada 42.7% (+2 mata peratusan QoQ) hasil campuran produk yang lebih menguntungkan dan normalisasi harga API," kata RHB Research dalam notanya itu.


Ia menjangka FY26 disokong beberapa pemacu termasuk permintaan memuncak tahun akhir tender APPL, inisiatif penyahkesesakan kapasiti di kilang Bangi dan Klang, serta pengembangan margin berterusan.


Bagaimanapun, firma itu memberi amaran risiko kos buruh lebih tinggi susulan perjanjian kolektif baharu mulai 1 Januari 2026, selain kontrak pembekalan insulin ditawarkan kepada dua pembekal lain.


Secara keseluruhan, RHB Research melihat trajektori pendapatan Duopharma kekal kukuh dengan asas margin lebih mapan, namun faktor kos dan struktur kontrak kekal penentu prestasi. - DagangNews.com