KUALA LUMPUR 21 April — Langkah IOI Properties Group Berhad mengambil alih aset pejabat premium di Singapura yang bernilai S$2.476 bilion (RM7.77 bilion) mencetuskan kebimbangan penganalisis.
Dua firma penyelidikan yang berbeza mengambil pendirian berhati-hati terhadap pemerolehan Asia Square Tower 2 di Marina Bay itu, dengan mereka turut mengekalkan penarafan terhadap langkah tersebut.
Antaranya CGS International yang berpendapat, pembelian hartanah berkenaan dilihat menarik dari segi penjanaan pendapatan berulang, namun dibayangi kebimbangan terhadap peningkatan nisbah hutang.
“Walaupun aset ini mampu mengukuh asas hasil, ia akan meningkatkan gear bersih kepada 1.03 kali berbanding 0.76 kali sebelum ini, dan melambatkan pengurangan hutang IOI Properties,” katanya.
Menurut firma berkenaan, pejabat setinggi 46 tingkat itu namun mencatat kadar penghunian yang kukuh iaitu 95.3% dengan rekod kadar sewaan purata sebanyak S$11.85 (RM36.86) bagi setiap kaki persegi.
Situasi positif itu jelas CGSI, sekali gus berpotensi menyumbang kira-kira RM65 juta keuntungan bersih berulang menjelang tahun kewangan 2027, dan ia turut melihat potensi peningkatan nilai.
Ini termasuk melalui pelarasan kadar sewaan memandangkan kadar semasa sebenarnya masih lebih rendah berbanding aset berhampiran milik IOI Properties, iaitu IOI Central Boulevard Towers.
"Pengambilalihan ini mengukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai antara pemilik pejabat premium terbesar di zon perniagaan Singapura, mencecah hampir S$10 bilion (RM31.1 bilion)," tambahnya.
Ia juga membuka laluan kepada penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) di negara itu dalam tempoh 2027 hingga 2028, dengan CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dan harga sasaran (TP) RM4.08.
Artikel berkaitan: IOI Properties tambah aset pejabat di Singapura, beli Asia Square Tower 2 bernilai S$2.48 bilion

Sementara itu, MBSB Research turut berpandangan neutral terhadap urus niaga pembelian tersebut walaupun mengakui ia akan mengukuhkan kehadiran IOI Properties di pasaran hartanah Singapura.
Firma tersebut berkata, harganya selari nilai pasaran sekitar S$2.5 bilion (RM7.7 bilion), dengan hasil pendapatan bersih (NPI) sekitar 3.3%, sejajar penanda aras aset pejabat premium di negara jiran itu.
"Bagaimanapun kebimbangan utama kami adalah kesan terhadap kedudukan kewangan syarikat apabila dijangka meningkatkan gear bersih, sekali gus memberi tekanan kepada kunci kira-kira,” katanya.
MBSB Research menjangkakan transaksi itu meningkatkan keuntungan bersih sekitar RM44.9 juta atau kira-kira 7% daripada unjuran pendapatan FY27, sekiranya dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman.
Antaranya menerusi pinjaman bank bagi memanfaatkan kadar Singapore Overnight Rate Average (SORA) yang semakin menurun, dan mengekalkan status patuh syariah syarikat melalui pembiayaan Islam.
Walaupun begitu, firma penyelidikan itu melihat penyenaraian REIT IOI Properties menjelang 2026 sebagai pemangkin utama dalam jangka terdekat, serta mengekalkan saranan 'neutral' dan TP RM3.52.
"Pengambilalihan aset ikonik di Marina Bay ini menawarkan nilai strategik jangka panjang, namun risiko peningkatan hutang kekal faktor utama yang perlu diberi perhatian pelabur," katanya. - DagangNews.com








