KUALA LUMPUR 25 Mei – GFM Services Berhad mencatatkan peningkatan hasil yang kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 apabila pendapatan kumpulan melonjak 72.3% kepada RM82.7 juta berbanding RM48 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata peningkatan prestasi itu didorong terutamanya oleh segmen Tenaga yang kini menjadi penyumbang utama hasil kumpulan selepas penyatuan Shapadu Energy Sdn. Bhd. yang diperoleh pada November 2025.
“Segmen Tenaga menyumbang 62.2% daripada jumlah hasil kumpulan dengan pendapatan sebanyak RM51.4 juta, disokong oleh kerja-kerja tambahan di bawah kontrak Penyelarasan Henti Operasi Bersepadu, Kerja Mekanikal Utama dan Penyelenggaraan Mekanikal Statik (TA4MS) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
“Sementara itu, segmen Pengurusan Fasiliti (FM) menyumbang RM24.5 juta, manakala segmen Perjanjian Konsesi menyumbang RM6.8 juta kepada jumlah hasil kumpulan bagi suku tersebut,” katanya dalam makluman itu.
Walaupun hasil meningkat dengan ketara, keuntungan kasar kumpulan hanya naik kepada RM22.2 juta berbanding RM19.5 juta pada tahun sebelumnya, dengan margin kasar menyusut kepada 26.8% berbanding 40.6%.
Penyusutan margin itu dipengaruhi oleh perubahan campuran perniagaan apabila segmen Tenaga yang mempunyai struktur margin berbeza kini menyumbang bahagian lebih besar kepada pendapatan kumpulan.
Keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat kepada RM10.4 juta berbanding RM8.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih naik sedikit kepada RM6.1 juta berbanding RM6 juta.
Secara suku ke suku (QoQ), pendapatan GFM meningkat 37% kepada RM82.7 juta berbanding RM60.3 juta pada suku sebelumnya, disokong oleh prestasi lebih kukuh segmen Tenaga.
Keuntungan kasar QoQ turut meningkat ketara kepada RM22.2 juta berbanding RM14.7 juta, manakala keuntungan bersih melonjak kepada RM6.1 juta berbanding RM0.8 juta pada suku sebelumnya.
Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata pengembangan segmen Tenaga akan membuka pasaran lebih besar kepada kumpulan selain mempelbagaikan asas pendapatan.
Beliau berkata perniagaan Pengurusan Fasiliti dan Perjanjian Konsesi kekal sebagai sumber pendapatan berulang yang stabil bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
GFM kini mempunyai tiga anak syarikat yang memegang kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang iaitu Highbase Strategic Sdn Bhd, Shapadu CR Asia Sdn Bhd dan HIMS Integrated Services Sdn Bhd, yang memperkukuh keupayaan kumpulan dalam perkhidmatan penyelenggaraan bersepadu berskala besar.
Kumpulan itu turut menjangkakan pemangkin pertumbuhan utama datang daripada kerja-kerja di loji di Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd yang dijadualkan pada 2026 dan 2027.
Setakat 31 Mac 2026, kumpulan merekodkan buku tempahan tertunggak sebanyak RM0.9 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga beberapa tahun akan datang.- DagangNews.com








