Pengambilalihan CX One tingkatkan sinergi Cloudpoint dalam segmen transformasi digital, PublicInvest kekal saranan ‘Outperform’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan CX One tingkatkan sinergi Cloudpoint dalam segmen transformasi digital, PublicInvest kekal saranan ‘Outperform’

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – Public Investment Bank mengekalkan saranan “Outperform” terhadap Cloudpoint Technology Bhd dengan pandangan syarikat itu berada di landasan pertumbuhan lebih kukuh selepas langkah pengambilalihan strategik terbaharu.

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan harga sasaran baharu kepada RM0.96 berbanding RM0.94 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 76.1% daripada harga semasa RM0.545.

 

“Peningkatan unjuran tersebut dibuat selepas kami mengambil kira pengambilalihan 100% kepentingan dalam CX One Sdn Bhd yang bernilai RM16.8 juta secara tunai.

 

“Pengambilalihan itu merupakan langkah penting untuk Cloudpoint memasuki ruang kecerdasan buatan (AI) perniagaan khususnya dalam segmen pusat panggilan dan pengalaman pelanggan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

CX One merupakan penyedia penyelesaian pusat panggilan berasaskan teknologi AI yang menawarkan sistem komunikasi bersepadu serta penyelesaian pengalaman pelanggan kepada entiti  korporat.

 

PublicInvest menjelaskan CX One mempunyai pelanggan merentas pelbagai sektor termasuk penerbangan, telekomunikasi, kewangan serta sektor awam dan swasta.

 

Syarikat itu turut bekerjasama dengan beberapa penyedia perisian antarabangsa seperti Talkdesk, Genesys, Avaya dan Verint, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi.

 

Dari sudut prestasi kewangan, CX One mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM1.8 juta pada FY25 berbanding RM263,000 pada FY23.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cloudpoint beli 100% ekuiti CX One bernilai RM16.8 juta perkukuh rantaian rumusan digital berasaskan AI

 

Cloudpoint merancang untuk membiayai separuh daripada nilai pemerolehan melalui dana IPO, manakala baki RM8.4 juta akan disokong melalui dana dalaman serta pinjaman bank.

 

Selain itu, struktur perjanjian turut melibatkan mekanisme “profit guarantee” selama tiga tahun berjumlah RM7.5 juta, yang bertujuan mengurangkan risiko kepada Cloudpoint sekiranya sasaran keuntungan tidak dicapai.

 

PublicInvest menyifatkan struktur jaminan keuntungan ini sebagai faktor mitigasi risiko yang baik bagi melindungi kepentingan syarikat selepas pengambilalihan.

 

“Dari sudut strategi, penggabungan ini dijangka mewujudkan sinergi dengan rancangan Cloudpoint untuk membangunkan suite pengurusan hubungan pelanggan (CRM) yang lebih menyeluruh.

 

“Ia juga dijangka membuka peluang jualan silang merentas pelanggan sedia ada dalam sektor kewangan, telekomunikasi, pengangkutan dan sektor awam,” katanya.

 

PublicInvest turut menjangkakan pengambilalihan ini boleh menyumbang tambahan sekitar 5% hingga 10% kepada pendapatan Cloudpoint bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2028.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap prospek Cloudpoint dengan jangkaan pertumbuhan pendapatan yang stabil dan pengembangan dalam segmen teknologi berasaskan AI.- DagangNews.com