Pendapatan PETRONAS Chemical dijangka bertambah baik pada 4Q25F, tetapi FY26F kekal mencabar - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan PETRONAS Chemical dijangka bertambah baik pada 4Q25F, tetapi FY26F kekal mencabar - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Nov - Prospek pendapatan PETRONAS Chemical Group Bhd (PCG) pada suku keempat 2025 dijangka bertambah baik, namun kekal mencabar pada tahun kewangan 2026, menurut penganalisis pasaran saham.

 

MBSB Research berkata, walaupun PCG telah mencatatkan kerugian bagi 3QFY25 (-RM289 juta) dan 9MFY25 (-RM1.4 bilion), firma itu melihat terdapat penambahbaikan dalam beberapa segmen perniagaannya. 

 

"Kami juga berpendapat bahawa harga semasa telah mencerminkan risiko penurunan terhadap PCG. Oleh itu, kami menaikkan saranan kepada NEUTRAL daripada SELL untuk PCG dengan harga sasaran yang tidak berubah pada RM3.01," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

CGS International (CGSI) pula menjangkakan prospek pendapatan bertambah baik pada 4Q25F kepada keuntungan bersih teras kecil sebanyak RM29m atas beberapa sebab.

 

Menurut firma penyelidikan itu, ini kerana loji aromatik telah kembali beroperasi dan harga propilena setakat ini telah pulih 6% qoq. 

 

"Tiada hentian loji dirancang pada 4Q25F kecuali penyelenggaraan ringkas di Loji Metanol #2 di Labuan, justeru kadar penggunaan loji O&D dan F&M dijangka lebih tinggi daripada 3Q25," kata firma itu.

 

CGSI menambah, turut menyokong peningkatan qoq adalah keputusan PCG untuk menghentikan Creditor Reliability Test (CRT) di PPC pada pertengahan Ogos 2025 (selepas ia dijalankan sejak akhir Jun 2025) kerana ia memerlukan pengeluaran volum tinggi di loji MEG yang rugi; penamatan CRT membolehkan PPC menumpukan pengeluaran pada loji polimer yang menguntungkan pada 4Q25F.

 

Katanya, walaupun harga urea segera telah menurun 14% qoq setakat ini pada 4Q25F, PCG optimistik terhadap trajektori harga urea berikutan tender India yang bakal berlangsung.

 

"Manakala kami berpandangan jualan urea perlu meningkat setelah selesainya hentian loji urea Sabah pada suku lepas," kata firma itu lagi.

 

Namun demikian, CGSI berkata, bahagian O&D berkemungkinan terus dibebani oleh penurunan 4–7% qoq dalam harga jualan PE setakat ini pada suku ini, dan prospek FY26F kekal negatif susulan pelancaran berskala besar loji baharu di China yang mengatasi sebarang usaha merasionalisasi loji yang tidak ekonomik. 

 

Sementara itu, PPC akan menjalani hentian loji selama 6 bulan pada 1H26F yang boleh mengekalkan kerugian PPC pada paras tinggi.

 

"Kami kekalkan saranan Reduce dengan TP akhir-CY26F yang lebih rendah pada RM2.94 (P/BV 0.65x, -2 sisihan piawai daripada purata sejak 2019), berbanding P/BV akhir-CY25F sebanyak 0.73x sebelum ini.

 

"Kami telah mengurangkan anggaran EPS teras FY25-27F bagi mencerminkan kejatuhan berterusan harga O&D serta hentian loji selama 6 bulan di PPC pada 1H26F," kata firma itu.

 

Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, PCG mencatatkan suku tahunan paling lemah sejak penyenaraiannya pada 2010, jauh di bawah jangkaan. 

 

Maybank IB kini mengunjurkan kerugian bersih teras sebanyak -MYR378 juta untuk FY25E (daripada keuntungan bersih MYR900 juta). Maybank IB juga mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras sebanyak -55%/-58% untuk FY26/27E bagi mencerminkan andaian harga olefin yang lebih rendah dan jangkaan margin EBITDA yang lebih lemah. 

 

"Memandangkan ketidaktentuan pendapatan yang semakin meningkat, kami menyemak pendekatan penilaian kami daripada PER kepada PBV. 

 

"TP baharu kami sebanyak MYR2.38 adalah berdasarkan 0.5x BVPS FY26E (sebelum ini MYR2.59, diperoleh daripada 10x PER FY26E). Kekalkan SELL," kata firma itu. - DagangNews.com