Pemulihan sektor teknologi diterajui AI masih belum dirasai - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan sektor teknologi diterajui AI masih belum dirasai - Affin Hwang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — Sektor teknologi masih belum lagi menyaksikan pemulihan yang diterajui kecerdasan buatan (AI) disebabkan faktor pendedahan terhad, kata Affin Hwang Investment Bank Berhad.
 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan pemulihan semikonduktor global masih diterajui segmen AI, pendedahan terhad kepada ruang itu telah memanjangkan proses pemulihan untuk pemain teknologi tempatan.
 

Bagi seluruh segmen pasaran utama, automotif dan perindustrian kekal lemah malah syarikat Malaysia ada tahap pendedahan tertentu yang mungkin menjejaskan pemulihan pendapatan dalam tempoh terdekat
 

"Secara keseluruhannya, kami berpendapat kesabaran pelabur terhadap sektor itu telah habis," katanya dalam satu nota penyelidikan.
 

Firma penyelidikan tu berkata, gandaan harga-kepada-pendapatan (PE) yang tinggi dijana oleh sektor tersebut pada masa lalu agak sukar untuk diwajarkan ketika ketidaktentuan tarif dan apabila jangkaan pertumbuhan terjejas.
 

Walaupun Affin Hwang menurunkan gandaan PE semasa musim keputusan baru-baru ini, ia menangani isu ini dengan lebih teliti dan menurunkan gandaan PE bagi syarikat terpilih selepas menilai semula prospek pendapatan mereka.
 

"Kami mengurangkan unjuran pendapatan syarikat yang mempunyai pendedahan terutamanya kepada segmen automotif," kata firma penyelidikan tersebut.
 

Affin Hwang berkata, syarikat dalam sektor tersebut mencatatkan pendapatan yang berada dalam atau di bawah jangkaan pada suku keempat 2024 (4Q 2024).
 

Untuk tahun penuh, pendapatan sektor itu menyaksikan pertumbuhan kecil sebanyak satu peratus selepas 2023 yang lemah apabila sektor itu menyaksikan penguncupan 26 peratus.
 

"Melihat pada 1Q 2025, pendapatan berkemungkinan kekal tenang bukan semata-mata kerana ketidaktentuan yang dicetuskan oleh ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan tetapi juga akibat daripada suku yang lemah secara bermusim.
 

"Selepas musim keputusan 4Q 2024 dan disebabkan pemulihan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk sektor automotif, kami telah mengurangkan unjuran pendapatan sektor 2025-2026 sebanyak 15 hingga 16 peratus (daripada unjuran awal 2025) dan membuat penurunan harga saham dalam laporan ini," tambahnya.
 

Dari segi kos, Affin Hwang berkata, kenaikan harga bahan mentah termasuk emas dan tembaga kekal sebagai cabaran segera terutamanya apabila tahap penggunaan kekal lemah.
 

Ia juga menambah bahawa gaji minimum yang lebih tinggi dan potensi kenaikan tarif utiliti pada separuh kedua 2025 mungkin boleh menjejaskan margin.
 

Justeru firma penyelidikan tersebut menurunkan penarafannya untuk sektor berkenaan kepada 'neutral'. - DagangNews.com