Pemulihan pengeluaran diramal kekalkan hasil Sarawak Oil Palms, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan pengeluaran diramal kekalkan hasil Sarawak Oil Palms, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 April — Sarawak Oil Palms Berhad diramal mencatatkan prestasi hasil konsisten apabila pengeluaran terus pulih dan bertambah baik, kata RHB Research.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut berkata, jumlah pendapatan itu mungkin diimbangi faktor harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih sederhana.


Syarikat itu merekodkan harga jualan purata (ASP) MSM sebanyak RM4,688 pada suku pertama, manakala harga isirung sawit meningkat lebih besar 14 peratus suku ke suku (QoQ) kepada RM4,105.


"Keadaan ini lebih tinggi berbanding purata harga yang diterbitkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan mewakili premium 13 peratus," katanya dalam satu nota kajian.


Sehubungan itu RHB Research berkata, keuntungan sebelum cukai Sarawak Oil Palms meningkat kepada 11 peratus pada suku tersebut daripada hanya 8.5 peratus ketika tempoh Q1FY2024.


Firma itu juga mengambil perhatian bahawa syarikat tersebut tidak terlibat dalam jualan hadapan dan mengekalkan andaian harga MSM pada FY25 sebanyak RM4,300 setan.


Keuntungan teras Sarawak Oil Palms pada suku pertama susut 26 peratus QoQ kepada RM120.8 juta, sebahagian besarnya sejajar dengan anggaran 24 peratus daripada ramalan setahun penuh.


Ia berkata, penurunan tersebut disebabkan faktor kemerosotan dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS) serta ASP untuk MSM yang didapati lebih rendah.


“Kami diberitahu, Sarawak Oil Palms kini berusaha mendapatkan keperluan baja pada separuh pertama 2025 dengan harga tidak berubah dari tahun ke tahun (YoY)," kata RHB Research.


Justeru firma itu mengekalkan andaian kos unit kekal buat masa ini dan menjangka pemulihan keluaran pada suku akan datang, yang sepatutnya mengurangkan kos unit dengan sewajarnya.


Secara keseluruhannya, ia menyatakan, tidak akan ada pendedahan untuk aktiviti hiliran Sarawak Oil Palms, tetapi berpandangan segmen itu akan menghadapi banyak cabaran.


Walaupun minyak sawit Malaysia mungkin menarik berbanding Indonesia kerana tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah, firma itu berkata kelebihan ini adalah tidak mudah.


RHB Research berkata, struktur cukai di Indonesia iaitu 17.9 peratus lebih menguntungkan berbanding 10 peratus Malaysia, dengan andaian semakan semula cukai eksport baru-baru ini.


“Kami tetap berhati-hati terhadap prestasi segmen serta masih lagi mengekalkan anggaran konservatif untuk kadar penggunaan 75 peratus dan andaian margin tiga peratus," katanya.


Firma itu juga tidak membuat perubahan hasil untuk Sarawak Oil Palms memandangkan harga MSM terus sederhana dan mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM4.80 sesaham. - DagangNews.com