Pemulihan lima stesen LRT3 kini dianggarkan menelan belanja RM5.3 bilion  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan lima stesen LRT3 kini dianggarkan menelan belanja RM5.3 bilion 

Gambar dari laman web rasmi prasarana
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Kos pemulihan semula lima stesen laluan LRT3 di Shah Alam, Selangor dijangka mencecah RM5.3 bilion, lebih tinggi daripada anggaran awal, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah.

 

Jumlah tersebut melebihi kos RM4.7 bilion yang dianggarkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan pemulihan lima stesen meliputi Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen tahun lepas. 

 

Bagaimanapun, Hasbi tidak menjelaskan secara terperinci tentang pecahan kos RM5.3 bilion bagi lima stesen LRT3 itu.

 

 

"Ini akan menjadikan jumlah kos stesen LRT3 kepada RM21.93 bilion, masih jauh lebih rendah daripada kos asal RM31.65 bilion," kata Hasbi di Dewan Rakyat pada Isnin, semasa sesi soal jawab lisan.

 

Laluan LRT3 sepanjang 37km yang masih dalam fasa pembinaan itu menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia di Klang dan mula diumumkan pada 2015, semasa pentadbiran Barisan Nasional.

 

Projek tersebut menjalani "rundingan semula dan rasionalisasi" selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pada 2018, yang mengakibatkan jumlah kos dipotong separuh kepada RM16.63 bilion.

 

Antara langkah penjimatan kos tersebut termasuk menangguhkan lima stesen, dengan kerajaan pada Ketika itu memetik kekangan fiskal yang ketat.

 

Kerja-kerja pembinaan projek LRT3 telah mencapai 95.6% siap dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan, lapor Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Julai.

 

Bagi pengembalian semula lima stesen itu, Hasbi berkata, pemilik dan pengendali perkhidmatan LRT3 iaitu Prasarana Malaysia Bhd kini sedang memuktamadkan butiran teknikal dan perjanjian kewangan tambahan bagi LRT3.

 

Skop reka bentuk bagi memulihkan kelima - lima stesen dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2025, manakala kerja pembinaan dijangka bermula pada suku keempat 2025.

 

“Kelima-lima stesen itu dijangka siap pada suku keempat 2027, dengan operasi dijangka bermula pada suku kedua 2028,” kata Hasbi.- DagangNews.com