Pemulihan kukuh eksport pada Julai mungkin sementara, penganalisis beri amaran risiko bulan mendatang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan kukuh eksport pada Julai mungkin sementara, penganalisis beri amaran risiko bulan mendatang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Eksport Malaysia mencatatkan pemulihan kukuh pada Julai dengan pertumbuhan 6.8% tahun ke tahun (YoY) selepas dua bulan berturut-turut mencatatkan penguncupan.

 

Lonjakan itu melonjakkan lebihan dagangan negara kepada RM15 bilion, disokong oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta peningkatan ketara dalam aktiviti pengeksportan semula.

 

Namun begitu, para penganalisis memberi amaran bahawa pemulihan ini mungkin bersifat sementara berikutan risiko daripada peningkatan tarif, permintaan lemah di pasaran utama serta peningkatan kos domestik yang boleh menjejaskan daya saing Malaysia sepanjang baki 2025.

 

BIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport kasar 2025 pada 2.9%, mencerminkan prospek berhati-hati dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global.

 

“Walaupun Malaysia memperoleh kadar tarif yang dirundingkan sebanyak 19%, kelembapan perdagangan luar dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini berikutan permintaan lemah daripada rakan dagangan utama,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu turut menekankan beberapa petunjuk perlahan: import barangan perantaraan menguncup untuk bulan kelima berturut-turut pada Julai, manakala import barangan penggunaan jatuh buat pertama kali tahun ini.

 

Eksport domestik pula dijangka kekal sederhana dengan pertumbuhan hanya 1.2% pada 2025, meskipun aktiviti frontloading produk tertentu – khususnya semikonduktor – dijangka memberi sokongan sementara pada kadar lebih perlahan.

 

UOB Global Economics & Markets Research turut menyemak semula unjuran pertumbuhan eksport kasar 2025 kepada 3.8% daripada 5% sebelum ini.

 

“Walaupun eksport Julai mencatat kejutan positif dan pertumbuhan kumulatif tahun-ke-tarikh (YTD) 4.3%, prospek perdagangan Malaysia masih terdedah kepada risiko penurunan sepanjang baki 2025 dan memasuki 2026,” jelasnya.

 

Antara faktor risiko utama ialah kelewatan dalam pengesahan tarif, ketidakpastian lanjutan gencatan dagangan AS-China sehingga November, serta tanda-tanda kelemahan permintaan global.

 

CGS International Securities pula menjangkakan eksport Malaysia akan perlahan pada separuh kedua 2025 (2H25F) meskipun rundingan perdagangan antara AS dan rakan dagangan utama telah dimuktamadkan.

 

Firma itu memberi amaran mengenai risiko terbesar kepada pemacu utama eksport negara.

 

“Pada 15 Ogos, Presiden AS Donald Trump menyatakan akan mengenakan tarif 100% ke atas semikonduktor dalam minggu-minggu mendatang, dengan pengecualian hanya diberi kepada syarikat yang berjanji memulakan pengeluaran di AS.

“Langkah ini boleh menjadi risiko paling besar kepada eksport Malaysia memandangkan produk E&E menyumbang 43.5% daripada jumlah eksport YTD. Malah, 60% eksport Malaysia ke AS adalah dalam sektor E&E dan 68% daripadanya terdiri daripada semikonduktor,” jelasnya. - DagangNews.com