Pemulihan industri semikonduktor dorong kenaikan jualan UWC kepada RM136 juta pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan industri semikonduktor dorong kenaikan jualan UWC kepada RM136 juta pada 2QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac – UWC Berhad mencatatkan peningkatan jualan yang ketara bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2026, dengan pendapatan sebanyak RM136.4 juta, naik 47.6 peratus berbanding RM92.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UWC berkata peningkatan ini didorong terutamanya oleh pemulihan ketara dalam industri semikonduktor yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan.

 

“Walaupun jualan meningkat, keuntungan sebelum cukai (PBT) merosot sedikit kepada RM13.6 juta daripada RM14 juta tahun sebelumnya. 

 

“Penurunan ini disebabkan oleh peningkatan kos operasi, termasuk kerugian pertukaran mata wang asing susulan pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat.

 

“Keuntungan selepas cukai bagi tempoh ini ialah RM13 juta, dengan keuntungan yang diperoleh pemegang saham syarikat induk berjumlah RM12.81 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Jumlah aset kumpulan meningkat daripada RM637.2 juta pada Julai 2025 kepada RM703.2 juta pada Januari 2026, menunjukkan pengembangan operasi dan pelaburan dalam inventori serta aset tetap.

 

Hutang keseluruhan juga meningkat daripada RM42.6 juta kepada RM77.2 juta, mencerminkan penggunaan pembiayaan untuk projek pengembangan dan pelaburan modal.

 

Ekuiti pemegang saham turut mencatatkan peningkatan daripada RM477.5 juta kepada RM507.5 juta, manakala jumlah ekuiti keseluruhan meningkat daripada RM494.8 juta kepada RM524.8 juta. Ini menunjukkan pertumbuhan nilai syarikat dan kemampuan membiayai projek baharu melalui modal sendiri dan pinjaman.

 

Dalam aliran tunai, operasi kumpulan menjana RM8.77 juta tunai bersih, berbanding penggunaan tunai RM17.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Perbelanjaan pelaburan untuk aset tetap mencatatkan RM35.3 juta, selari dengan rancangan pengembangan kapasiti dan projek baharu.

 

Aktiviti pembiayaan pula menyumbang RM32.3 juta tunai bersih masuk, hasil daripada pinjaman baru dan penyusunan semula hutang sedia ada. Jumlah tunai dan baki bank pada akhir Januari 2026 meningkat kepada RM32.98 juta daripada RM26.46 juta pada permulaan tempoh.

 

UWC membahagikan operasi perniagaannya kepada dua segmen utama. Segment II, yang melibatkan perkhidmatan pembuatan presisi, komponen mekanikal, dan perkhidmatan pemasangan nilai tambah, menjadi penyumbang utama pendapatan dengan RM257.3 juta, manakala Segment I, iaitu aktiviti pelaburan, menyumbang kecil kepada prestasi kumpulan.

 

Dalam pada itu, UWC berkata prospek bagi 2026 dilihat cerah dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berada pada 4 hingga 4.5 peratus. 

 

“Permintaan global terhadap semikonduktor dijangka meningkat lebih 25 peratus, dengan fokus kepada cip memori dan aplikasi berkaitan AI. Kumpulan akan terus mengembangkan kapasiti pengeluaran, termasuk projek bilik bersih untuk menyokong perniagaan  semikonduktor dan memenuhi permintaan pelanggan baharu. 

 

“Kami juga menumpukan usaha kepada penambahbaikan kecekapan dan kualiti melalui automasi serta sistem pengurusan berkualiti,” katanya. - DagangNews.com