Pemohon pinjaman lebih RM100,000 wajib hadir kursus pendidikan kewangan mulai 2027 - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemohon pinjaman lebih RM100,000 wajib hadir kursus pendidikan kewangan mulai 2027 - BNM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 1 Okt - Pengguna yang ingin memohon pinjaman peribadi melebihi RM100,000 wajib menghadiri modul pendidikan kewangan di bawah dasar baharu yang akan berkuat kuasa pada tahun 2027.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam dokumen dasar mengenai pembiayaan peribadi yang dikeluarkan pada Selasa berkata, bagi membantu membuat keputusan kewangan yang lebih berhemat dan bijak, peminjam perlu melengkapkan sesi pendidikan yang dikendalikan oleh pihak pemberi pinjaman atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

Menurut BNM, pemberi pinjaman juga boleh menggalakkan pengguna yang dinilai mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan sebelum memohon sebarang produk pembiayaan peribadi baharu.

 

 

 

 

 

Dokumen dasar itu turut memperkenalkan langkah untuk memperkukuh keperluan pemberi pinjaman mendedahkan kadar faedah efektif kepada pengguna sebagai sebahagian usaha mempromosikan amalan pembiayaan yang berhemat dan bertanggungjawab.

 

Keperluan ini hadir ketika persaingan semakin sengit dalam pasaran yang mensasarkan peminjam individu di negara berpenduduk 32 juta itu, yang turut menempatkan lebih 30 bank tempatan dan asing.

 

BNM perhati tawaran penyedia kredit

Bank pusat itu berkata pihaknya sedang memerhatikan perubahan dalam amalan pemberian pinjaman oleh penyedia kredit dalam segmen pembiayaan peribadi yang menyumbang kepada pinjaman isi rumah yang tidak mampu ditanggung.

 

BNM turut memberi amaran mengenai kemunculan produk pembiayaan baharu yang memberi gambaran pinjaman mampu milik tetapi sebenarnya menggalakkan pengumpulan hutang tidak berhemat yang akhirnya meletakkan pengguna kewangan dalam risiko kesusahan besar sepanjang tempoh pembiayaan kerana kekurangan penampan kewangan.

 

 

 

 

 

 

Langkah baharu ini akan terpakai kepada semua bank berlesen dan bank Islam serta institusi kewangan pembangunan.

 

Walaupun pemberi pinjaman kini diwajibkan menjalankan penilaian kesesuaian dan kemampuan, BNM menegaskan keperluan yang lebih khusus adalah perlu bagi mencegah perkembangan tidak sihat dalam segmen pembiayaan peribadi. - DagangNews.com