KUALA LUMPUR 8 Mei — Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Capital A Berhad hari ini sebulat suara meluluskan resolusi utama terhadap Cadangan Pelan Regularisasi untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Katanya, usul berkenaan dipersetujui oleh kesemua pemegang sahamnya dan turut mendapatkan kelulusan daripada para pemegang Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tebus (RCUIDS) dalam mesyuarat khas yang diadakan itu.
Cadangan tersebut terdiri daripada usaha pengurangan modal sehingga RM6 bilion yang membolehkan syarikat membersihkan kunci kira-kira dengan mengimbangi kerugian terkumpul serta menunjukkan kedudukan kewangan yang jelas dan sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, langkah berkenaan mewakili pencapaian penting dalam Cadangan Pelan Regularisasi yang direka untuk memudahkan syarikat tersebut agar dapat keluar daripada status PN17.
"Ini adalah hari penting kepada Capital A dan dengan sokongan pemegang saham selain pemegang RCUIDS untuk pengurangan modal, kami mengambil langkah berani menyelesaikan pemulihan dan bergerak melangkaui PN17," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Capital A telah melalui masa yang sukar, tetapi mereka membina perniagaan bertenaga dan kini berada pada kedudukan untuk pertumbuhan, manakala latihan sebegini juga penting untuk membuka kunci bahagian seterusnya.
Inisiatif itu juga katanya, adalah sebahagian daripada strategi transformasi yang lebih luas, termasuk pelupusan perniagaan penerbangan Capital A kepada AirAsia X Berhad (AAX) dan tumpuan strategik pada enam perniagaan bukan penerbangan.
Langkah berkenaan kata Tony, dijangka mengukuhkan daya tahan kewangan jangka panjang Capital A kerana kesemua peniagaan tersebut berkembang pesat antaranya Asia Digital Engineering yang terlibat dalam penyelenggaraan dan kejuruteraan pesawat.
Syarikat itu juga memberi fokus kepada Teleport yang menguruskan perniagaan logistik dan penghantaran rentas sempadan, AirAsia MOVE iaitu platform perjalanan dan tempahan digital serta BigPay dengan tumpuan teknologi kewangan digital.
Begitu juga Santan yang terlibat dalam perniagaan katering untuk penerbangan serta jenama produk makanan dan minuman selain syarikat Abc. International dengan tumpuannya kepada perkhidmatan pengurusan jenama dan pelesenan.
Dengan kelulusan EGM tersebut, Capital A akan meneruskan langkah untuk mendapatkan pengesahan Mahkamah Tinggi mengenai usaha pengurangan modal selepas pengumuman tarikh kelayakan Cadangan Pelupusan.
Tindakan ini membuka jalan kepada syarikat untuk melengkapkan Pelan Regularisasi dan dijangka mengukuhkan asas modal kumpulan dengan ketara selain meningkatkan keyakinan pelabur, dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
"Langkah ini seterusnya meletakkan syarikat berada di landasan untuk dapat keluar daripada status PN17 pada pertengahan 2025," katanya. - DagangNews.com








