IPOH 17 Nov - Pembukaan Pusat Perubatan Sunway Ipoh (SMC Ipoh) di Sunway City, Tambun di sini dilihat sebagai pelaburan besar dalam memperkukuh kemudahan kesihatan dan ekonomi negeri Perak.
Bagaimana pun, beberapa isu perlu diberi perhatian termasuk akses rawatan mampu milik dan keseimbangan tenaga pakar antara sektor swasta dan kerajaan.
Ini bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Ketua Jabatan Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Ir. Ong Kean Sing berkata, kewujudan hospital pakar tersebut memberi manfaat kepada penduduk Ipoh yang kini boleh mendapatkan rawatan berkualiti tanpa perlu ke lokasi lebih jauh.


Menurut beliau, hospital itu dibangunkan dengan peranan besar sebagai pusat kesihatan moden yang menawarkan khidmat penjagaan harian bertaraf tinggi, kepakaran perubatan intensif serta fasiliti yang dilengkapi teknologi terkini.
“Pembukaan ini menjadi penanda aras kepada hospital swasta untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan dengan fasiliti maju dan canggih, disertai sentuhan insani yang padu dalam spektrum kesihatan secara kolektif.
“Ia turut membuka banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat. Kawasan sekitar hospital juga dijangka berkembang pesat menerusi pembangunan perumahan dan perniagaan baharu, menjadikan kawasan itu pusat tumpuan masyarakat,” katanya.
SMC Ipoh kini menjadi hospital swasta kesembilan di Ipoh.
Hospital berharga RM430 juta itu telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Oktober lepas.



Kean Sing pada masa sama turut mengingatkan agar caj rawatan dan yuran perubatan tidak terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk, sekali gus mengekang akses masyarakat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku perpindahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta kerana tawaran gaji lebih lumayan yang berpotensi menjejaskan perkhidmatan di hospital kerajaan akibat kekurangan pakar.
“Sumber tenaga kerja akan terjejas dan mengganggu kualiti serta kelangsungan khidmat perubatan. Penduduk kurang mampu akan lebih sukar mendapatkan rawatan yang baik di hospital kerajaan,” tegasnya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Perak, Afi Roshezry Abu Bakar melihat pembukaan hospital itu sebagai pemacu kepada impak pelancongan kesihatan di Perak, khususnya di Ipoh.

Beliau berkata, kehadiran Pusat Perubatan Sunway Ipoh bukan sekadar menyediakan alternatif perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, malah membawa persaingan sihat sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan keseluruhan.
“Ipoh ketika ini menjadi alternatif kepada pesakit luar seperti dari negara jiran terdekat seperti Indonesia dan Singapura yang datang mendapatkan rawatan kerana faktor kos lebih kompetitif.
“Justeru, pembukaan hospital ini membuka lembaran baharu untuk Perak menuju bandar maju dan progresif pada tahun 2030, di samping meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara holistik,” katanya. - DagangNews.com








