Pembesaran projek Gamuda Cove dengan GDV RM2.2 bilion diunjur lonjak margin kumpulan - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembesaran projek Gamuda Cove dengan GDV RM2.2 bilion diunjur lonjak margin kumpulan - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mei — Margin Gamuda Berhad diunjur meningkat disokong pembesaran projek Gamuda Cove dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion, kata CIMB Securities


Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha itu dilihat tidak akan berdepan masalah kerana lokasinya luas dan lengkap dengan pelbagai infrastruktur awam telah lama diwujudkan pemaju di sekitar.


Pada 16 Mei 2025, Gamuda mengumumkan ia memperoleh tanah seluas 136 hektar di hujung selatan perbandaran Gamuda Cove dengan harga RM249 juta yang akan dibangunkan menjadi projek bercampur terdiri daripada kediaman bertanah dan komponen komersial.


"Ia memperluaskan kehadiran strategik Gamuda dalam perbandaran Lembah Klang Selatan yang semakin berkembang dan dijangka menjana jejak lebih besar untuk tawaran komersial Gamuda Cove semakin diperbesarkan," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.


Cadangan pembangunan di atas tanah pajakan baharu selama tempoh 74 tahun itu katanya, mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.2 bilion yang diagihkan dalam masa 12 tahun.


Pada RM17 sekaki persegi (psf) kata firma itu, kos pemerolehan bagi bank tanah baharu itu mewakili premium 42 peratus berbanding kos asal bagi petak tanah asal Gamuda Cove, yang dibeli dengan harga RM12 psf pada 2014.


“Kami bagaimanapun menganggap penilaian pembelian tanah kali ini adalah adil, memandangkan potensi pembangunan yang dicadangkan itu boleh dibuka lebih awal dengan memanfaatkan prospek pertumbuhan teguh perbandaran Gamuda Cove sedia ada," katanya.


Kawasan baharu tersebut juga tambah CIMB Securities, meningkatkan kesalinghubungan antara Gamuda Cove dan perbandaran berdekatan di Dengkil dan Bandar Rimbayu.


Firma itu berkata, penyiapan sambungan terus dan laluan bebas tol, sejauh dua kilometer ke Cyberjaya juga akan meningkatkan kebolehcapaian penduduk ke Gamuda Cove.


Bagi tahun kewangan 2025, ia berkata, Gamuda Cove diunjur menyumbang RM810 juta, atau kira-kira 14 peratus daripada sasaran jualan hartanah baharu kumpulan itu sebanyak RM6 bilion.


Ini akan meningkatkan baki GDV Gamuda kira-kira 4 peratus kepada RM64 bilion.


CIMB Securities mengekalkan saranan "beli" dan harga sasaran RM5.50 sesaham sementara menunggu proses penyiapan pengambilalihan bank tanah baharu menjelang suku kedua tahun ini. - DagangNews.com