KUALA LUMPUR 25 Mac – EPIC Berhad melalui anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd, sedang melaksanakan projek pembesaran Pelabuhan Kemaman termasuk jajaran sisihan (spurline) sambungan rel dari Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus ke kawasan pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata projek itu dijangka membuka peluang perdagangan yang lebih luas serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar.
“Laluan keretapi yang berakhir di Pelabuhan Kemaman membolehkan penghantaran kargo terus ke pelabuhan dan memudahkan pengedaran ke lokasi lain sepanjang laluan rel tersebut.
“Selain itu, EPIC mempunyai tanah-tanah di sekitar pelabuhan yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan yang ingin menggunakan sepenuhnya kemudahan rel ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu telah mengeluarkan permintaan cadangan (RFP) dan sedang berbincang dengan pelabur tempatan dan antarabangsa untuk projek pembesaran pelabuhan.
Fasiliti pelabuhan juga sedang dinaik taraf bagi memenuhi keperluan operasi dan prasarana, termasuk pembelian kren baharu dan pembesaran kawasan terbuka untuk disewa oleh pengguna.
Beliau berkata projek penambakan tanah turut dijalankan bagi menambah ruang dan kapasiti pelabuhan.
“Dengan penambahan kren baharu kepada dua kren dermaga sedia ada, kapasiti pelabuhan meningkat daripada empat juta tan setahun kepada 12 juta tan setahun secara berperingkat.
“Projek pembesaran sepenuhnya dijangka siap menjelang 2030 dengan kapasiti dijangka mencapai 30 juta tan setahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata platform penggerudian NAGA 8 milik Velesto Energy berlabuh di Dermaga Barat Pelabuhan Kemaman baru-baru ini.
“Platform ini dijangka berada selama dua hingga tiga minggu bagi tujuan penyelenggaraan dan persiapan untuk tugasan seterusnya,” katanya.
EPIC Berhad dan anak syarikatnya, khususnya Eastern Pacific Marine Services juga merakamkan penghargaan kepada Velesto Energy kerana terus memilih Pelabuhan Kemaman sebagai lokasi persinggahan platform mereka.
NAGA 8 merupakan platform penggerudian kelima yang berlabuh di Pelabuhan Kemaman tahun ini melalui perkhidmatan EPIC Marine. Platform ini dibina pada 2015 dan mampu melakukan pengeboran pada kedalaman sehingga 30,000 kaki serta beroperasi di perairan setinggi 400 kaki.
EPIC Marine menyediakan perkhidmatan menyeluruh untuk kapal dan platform yang terlibat dalam industri minyak dan gas. Sebagai sebahagian daripada Kumpulan EPIC, EPIC Marine berpotensi menjadi peneraju serantau bagi seluruh rantaian nilai industri minyak dan gas dengan sokongan kepakaran dan kepimpinan kumpulan.
EPIC Berhad menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pangkalan sokongan minyak dan gas, pengurusan pelabuhan, kejuruteraan dan perkhidmatan marin, serta tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.
Kumpulan EPIC turut memiliki beberapa anak syarikat lain termasuk Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd, EPIC Oilfield Sdn Bhd, EPIC Solar Sdn Bhd, PBK Logistics Sdn Bhd dan Eastern Pacific Properties Sdn Bhd. Aktiviti dan projek kumpulan ini dijangka terus memberikan impak positif kepada sektor perniagaan dan ekonomi tempatan. - DagangNews.com








