KUALA LUMPUR 25 April — Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak sebanyak RM8 juta bertujuan bagi meningkatkan ketersambungan antarabangsa, dengan tumpuan untuk menerokai pasaran luas di Eropah dan Amerika Latin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut merupakan inisiatif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi menyediakan infrastruktur yang kondusif dan meningkatkan kapasiti penumpang bagi memenuhi permintaan masa depan.


Perkongsian secara strategik ini kata beliau, bukan sahaja penting dalam pembangunan negara tetapi juga dalam memacu pelancongan dan pada masa sama, dapat mengurangkan tekanan ke atas dana kerajaan melalui penyertaan pihak berkepentingan.
“Daripada kerjasama ini, kita boleh membina daya tahan domestik dan mengukuhkan keyakinan orang ramai bahawa Malaysia mampu berdikari dan maju dengan kekuatan sendiri dengan rangkaian serantau, khususnya di ASEAN, China, India, Australia, Jepun, dan Korea, sambil membuka pasaran baharu di Eropah dan Amerika Latin,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.


Anwar berkata, setiap projek hanya boleh berjaya jika disokong dengan sinergi dan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan, kementerian, agensi, kerajaan negeri, swasta, serta semua peringkat kepimpinan dalam masyarakat.
Malaysia kata beliau, perlu proaktif serta menyediakan kemudahan dan infrastruktur berkualiti tinggi, didorong oleh kecekapan dan integriti semua penjawat awam.
"Ini adalah asas usaha kita untuk mengangkat martabat negara di persada dunia, Insya-Allah," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com








