Dasar perolehan pertahanan secara terbuka yang diamalkan Malaysia selama ini memberi kelebihan apabila negara bebas untuk memilih mana-mana rakan industri yang dibuat atas pertimbangan strategik.
Itali misalnya merupakan salah sebuah negara yang menjadi pembekal kelengkapan ketenteraan utama kepada Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Hasrat untuk mendapatkan aset ketenteraan dari negara Eropah itu dinyatakan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin.

Malaysia melihat Itali sebagai salah satu negara rakan yang boleh membantu untuk melaksanakan pembangunan pertahanan dalam usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Itali bukan pemain kecil dalam industri pertahanan global.
Syarikat-syarikat seperti Fincantieri iaitu pengeluar kapal perang terbesar Eropah dan Leonardo S.p.A., peneraju teknologi helikopter dan sistem elektronik ketenteraan.
Firma Itali juga udah lama menjadi pembekal utama kepada NATO dan pasaran luar seperti Mesir, Qatar dan Indonesia.


Minat Malaysia terhadap aset buatan Itali, khususnya kapal perang dan helikopter hadir pada saat ATM berdepan keperluan memperkukuh aspek keselamatan maritim khususnya di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Antara aset yang dikenal pasti berpotensi seperti kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) dan kapal peronda atau LMS.
Fincantieri bersama syarikat Malaysia, Enra Energy Solutions pada LIMA 2025 lalu menandatangani perjanjian untuk menyokong Program 15to5 TLDM bagi pembekalan MRSS dan kapal LMS Batch 3.
Difahamkan tender rasmi dijangka dibuka Oktober, melibatkan tiga kapal MRSS pertama di bawah RMK-13 dan dua lagi pada RMK-14 dengan Fincantieri menjadi antara pesaing utama bersama Hyundai dari Korea dan PT PAL (Indonesia).
Kontrak untuk pembinaan kapal MRSS TLDM dianggarkan bernilai sekitar RM4 hingga RM5 bilion.


Bagi program LMS Batch 3 pula, kerajaan dipercayai akan menawarkan kontrak berkenaan pada tahun 2027 atau 2028.
Firma ini juga pernah mempamerkan model kapal peronda atau OPV buatannya yang sesuai untuk ditawarkan bagi projek LMS Batch 3 TLDM.
Kerajaan Malaysia pada tahun 1995 telah membeli 4 buah kapal korvet peluru berpandu kelas Laksamana buatan Fincantieri.
Kapal-kapal ini telah memainkan peranan penting sebagai tunjang pertahanan maritim negara sehingga dilucutkan tauliah pada bulan lalu selepas lebih 30 tahun digunakan.
Malaysia juga telah memilih pesawat rondaan maritim (MPA) buatan Itali apabila firma Leonardo diberikan kontrak bernilai RM899 juta membina 2 pesawat MPA jenis ATR P-72M.



TUDM bakal menerima dua pesawat MPA ini pada tahun 2026 bagi mempertingkatkan lagi rondaan ruang udara dan maritim negara.
Perolehan pesawat MPA penting bagi membolehkan TUDM mempertingkatkan rondaan dan pengawasan berterusan di laluan air strategik di Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.
Berpandukan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), TUDM memerlukan enam buah MPA menjelang tahun 2035 yang mana dilaksanakan menerusi tiga fasa.
Bermakna, Leonardo akan menjadi rakan strategik pertahanan jangka panjang dalam pembangunan program pesawat MPA TUDM.
Kerajaan juga bersetuju menyewa 28 buah helikopter untuk kegunaan agensi-agensi keselamatan negara. Perolehan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM16.5 bilion.


Selain ATM, sewaan helikopter Leonardo AW149 ini untuk kegunaan agensi keselamatan negara termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Maritim Malaysia (APMM).
Menerusi sewaan ini, syarikat Westar Aviation akan menerima sokongan penuh termasuk teknikal daripada Leonardo.
Ketika ini TUDM telah menyewa 4 buah helikopter AW138 sebagai langkah sementara untuk menggantikan helikopter Nuri dan akan menambah 4 buah lagi.
Helikopter buatan Leonardo juga bukan asing kerana pelbagai varian dioperasikan oleh pelbagai agensi keselamatan seperti polis, JBPM dan APMM.


APMM juga bakal menerima 4 buah helikopter AW189 yang dipesan 2 tahun lalu.
Tentera Darat pula mengoperasikan helikopter A109 LUH yang diperkenalkan ke dalam perkhidmatan pada tahun 2005.
Pesawat Agusta A109 LOH yang diperanankan sebagai helikopter peninjau ringan menjadi tulang belakang operasi udara Tentera Darat termasuk digunakan semasa Op Daulat di Sabah pada 2013.

Selain daripada aset-aset yang dinyatakan, Itali juga mempunyai kepakaran dalam sistem pertahanan elektronik, komunikasi dan radar.
Sehubungan itu, ATM juga dikatakan sedang menilai beberapa sistem pertahanan udara dan maritim, termasuk sistem dari Itali tetapi belum diumumkan secara rasmi.
Kerjasama industri pertahanan Malaysia dengan Itali dapat mengimbangi kebergantungan hanya kepada negara tertentu.
Ini juga memberi ruang lebih fleksibel dalam memilih teknologi yang sesuai dengan keperluan operasi dan kemampuan belanjawan negara. - DagangNews.com








