KUALA LUMPUR 13 Ogos -.Rancangan pemodenan Tentera Darat Malaysia (TDM) melengkapkan pasukan Wilayah Medan Timur di Sabah dan Sarawak menyaksikan beberapa aset tambahan perlu dilengkapkan di sana.
Proses ini telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu seperti mewujudkan pasukan artileri medan, artileri pertahanan udara dan memindahkan kenderaan perisai AV8 Gempita.
Satu lagi keperluan penting ialah jambatan taktikal yang mana aset tersebut belum pernah dimiliki oleh pasukan TDM di Wilayah Timur.
Jambatan taktikal ialah struktur sementara yang digunakan oleh tentera untuk menyediakan laluan lintasan segera di sesebuah kawasan.


Contohnya seperti sungai, parit, jurang atau kawasan runtuhan dalam situasi operasi ketenteraan.
Sebelum adanya jambatan taktikal khusus bagi kegunaan kenderaan berat seperti kereta kebal, TDM menggunakan ponton untuk menyeberang kenderaan perisai.
Sejak 20 tahun lalu, TDM menggunakan jambatan taktikal jenis Tactical Floating Bridge PFM buatan CNIM, Perancis.
Aset tersebut kini berpengkalan di 4 Skuadron Jambatan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Jambatan taktikal ini dibeli apabila TDM mengoperasikan kereta kebal utama PT-91M Pendekar pada 2002.
TDM dipercayai memerlukan satu pasukan RAJD Jambatan untuk ditempatkan di Wilayah Medan Timur bagi menyokong operasi di sana.
Dalam hal ini ada kemungkinan satu daripada unit sedia ada daripada 4 Skuadron Jambatan RAJD dari Kem Syed Sirajuddin, Gemas dipindahkan ke wilayah itu sama ada di Sabah atau Sarawak.
Jika melihat pada aspek teknikal dan operasi, adalah lebih sesuai sekiranya TDM memilih sistem PFM F2 iaitu generasi baharu jambatan PFM yang lebih berprestasi tinggi.
Lebih penting lagi, pilihan terhadap PFM bertepatan dengan doktrin operasi RAJD yang menekankan kepantasan, kesediaan operasi, kemudahan pengendalian dan kecekapan logistik.


Daripada segi sumber manusia dan latihan, anggota RAJD telah dilatih secara menyeluruh selama lebih dua dekad dengan sistem ini.
Jadi, tempoh untuk melatih pegawai dan anggota mengendalikan jambatan taktikal baharu ini tidak sukar kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan jambatan varian terdahulu.
Jika pun model sistem PFM F2 lebih moden, namun secara asas aspek kejuteraan pada jambatan ini masih sama.
Begitu juga aspek penyelenggaraan dan alat ganti dipercayai tidak sukar kerana jambatan dibekalkan oleh pengeluar serupa iaitu CNIM Perancis.
Sepertimana diketahui, firma pertahanan Eropah mempunyai sokongan selepas jualan yang baik selain ruang menjalankan kerjasama industri.


Jambatan PFM telah terbukti keberkesanannya dalam pelbagai operasi sebenar dan latihan besar.
Ia direka berdasarkan pengalaman medan sebenar oleh negara-negara NATO dan telah digunakan secara aktif melibatkan tentera negara pakatan itu.
Ini menjadikan Tactical Floating Bridge PFM antara sistem jambatan taktikal terbaik di dunia dan masih relevan sehingga kini.
Apa yang lebih penting ialah keupayaan operasi TDM di Wilayah Medan Timur terus diperkasa dengan perolehan aset baharu termasuk jambatan taktikal. - DagangNews.com








