Pembeli projek tertangguh Ataria Resort di Samariang tuntut kerajaan negeri campur tangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembeli projek tertangguh Ataria Resort di Samariang tuntut kerajaan negeri campur tangan

Projek Ataria Resort Service Suites yang dilancarkan pada tahun 2016, melibatkan 428 pangsapuri perkhidmatan. Gambar/Borneo Samariang Resort City
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Dis - Pembeli unit di Ataria Resort Service Suites di Bandar Samariang, Kuching, mendesak campur tangan kerajaan negeri setelah projek berkenaan tertangguh sejak sekian lama.

 

Michael Kong, pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata, pembeli telah membayar pinjaman untuk unit mereka selama hampir 10 tahun.

 

"Projek Ataria Resort Service Suites yang dilancarkan pada tahun 2016, melibatkan 428 pangsapuri perkhidmatan.

 

Namun lapan tahun kemudian, projek ini terhenti pada kadar 95 peratus siap dengan tiada permit penghunian dikeluarkan, sekali gus menghalang pembeli untuk mengambil alih harta mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

 

Beliau berkata, keadaan itu membebankan pembeli dengan pembayaran faedah bagi hartanah yang tidak dapat diduduki.

 

Kong juga menyatakan, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd yang juga pemaju projek tersebut, gagal bertanggungjawab terhadap pembeli unit Ataria Resort Service Suites.

 

"Kerajaan negeri yang diterajui GPS dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan gagal untuk bertindak dan melindungi rakyat Sarawak.

 

"Pembeli Ataria Resort Service Suites dan projek lain yang terbengkalai di Bandar Samariang berhak mendapatkan keadilan berikutan kesulitan kewangan dan emosi yang dialami," katanya.

 

Jelas beliau, sudah tiba masanya kementerian campur tangan dan mengambil alih projek tersebut bagi memastikan ia dapat disiapkan.

 

Beliau juga mendesak kerajaan negeri supaya menekan pihak pemberi pinjaman untuk menggantung caj faedah sehingga hartanah tersebut diserahkan kepada pemiliknya.

 

"Rakyat Sarawak tidak seharusnya dipersalahkan atas sikap tidak bertanggungjawab pemaju.

 

"Kerajaan negeri perlu berhenti mengabaikan isu ini dan mengambil tindakan segera serta tegas untuk melindungi rakyatnya," tambahnya.

 

Sentoria Group Bhd yang juga pemilik Sentoria Borneo Land Sdn Bhd, baru-baru ini mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) Bursa Malaysia selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh kepada 33% daripada modal terbitan dan berbayar.

 

Syarikat pembina dan pemaju itu, telah berada di bawah penelitian kerana pertikaian dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Loh Yuen Tuck berikutan dakwaan salah laku.

 

Syarikat itu melaporkan kerugian sejak FY2019. Bagi FY2024, syarikat melaporkan kerugian bersih sebanyak RM89.04 juta atas hasil sebanyak RM7.55 juta. - DagangNews.com