KUALA LUMPUR 8 Mei — Projek pembangunan hartanah terbaharu, Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan hasil baharu untuk Matrix Concepts Holdings Berhad pada tahun kewangan 2026 (FY26), kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, faktor tanah kos rendah di kawasan itu yang terletak di Negeri Sembilan mampu menawarkan penyesuaian besar dalam penetapan harga dan membantu bagi menyokong margin keuntungan syarikat secara lebih kukuh.
Negeri berkenaan sendiri membentuk 88 peratus jumlah pendapatan keseluruhan Matrix Concept dalam tempoh sembilan bulan FY25 dan hampir 80 peratus daripada jumlah simpanan tanahnya.
"Selepas pelancaran sulung produk kediaman pertama pada FY26, MVV City yang diusahakan kumpulan itu dijangka menjadi pemacu pertumbuhan jualan hartanah seterusnya untuk jangka panjang," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya.
Ia menambah, syarikat itu sebelum ini telah mula memasarkan plot tanah perindustriannya, dengan memperoleh jualan antara RM300 juta sehingga RM400 juta, yang dijangka diperakui mulai tempoh separuh kedua tahun kewangan 2026.
Pihak pengurusan Matrix Concepts katanya, juga dijangka meneruskan usaha sama untuk pembangunan taman perindustrian terurusnya, dengan kedua-dua inisiatif itu akan ditempatkan dalam zon perindustrian seluas 405 hektar di MVV City.
RHB Research seterusnya menyatakan, pembangunan akan datang di Negeri Sembilan dijangka memberi manfaat kepada syarikat, kerana penciptaan peluang pekerjaan baharu berkemungkinan mendorong permintaan untuk perumahan di kawasan itu.
“Kami mengambil perhatian yang Matrix Concepts sudah ada rekod prestasi panjang dalam pembangunan hartanah di negeri ini, dan ia telah memperoleh 964 hektar tanah dalam MVV 2.0 untuk tempoh tiga hingga empat tahun lepas," katanya.
Sejumlah 405 hektar tambah firma itu, menunggu siap pada separuh kedua tahun kewangan 2026 namun secara keseluruhan, ia juga adalah tambahan kepada baki simpanan tanah semasanya yang berkeluasan 553 hektar untuk pembangunan Sendayan.
Negeri Sembilan kata RHB Research, bersedia untuk pertumbuhan ekonomi pesat bagi jangka sederhana, didorong oleh kemajuan terkini dalam MVV 2.0 yang turut meliputi Daerah Port Dickson dengan keseluruhan seluas 153,000 hektar.
Ia menyatakan bahawa selain Matrix Concepts, yang telah mengadakan majlis pecah tanah untuk projek MVV City, Gamuda Berhad telah membeli 157 hektar di Taman Perindustrian Springhill, Port Dickson, untuk membangunkan kemudahan pusat data.
Di samping itu, SD Guthrie Berhad dan NS Corporation secara rasmi turut bekerjasama dengan sebuah pemaju hartanah terkenal untuk bersama-sama membangunkan kira-kira 484 hektar di Bukit Pelandok sebagai taman perindustrian baharu.
Berdasarkan perkembangan positif itu sejak MVV 2.0 dilancarkan pada 17 Disember 2024, RHB Research mengekalkan saranan "beli" untuk Matrix Concepts, dengan harga sasaran diunjurkan sebanyak RM1.72 sesaham. - DagangNews.com








