KUALA LUMPUR 24 Mac — Langkah kerajaan memansuhkan kadar cukai pegangan (WHT) tetap 10% ke atas sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) dibimbangi mencetuskan ketidaktentuan dalam jangka pendek.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), situasi negatif tersebut diramal berlaku apabila para pelabur menilai semula pulangan selepas cukai apabila mekanisme percukaian berkenaan sudah lagi ditiadakan.
Tambah firma itu, pelaksanaan rejim cukai baharu yang bermula tahun taksiran 2026 dijangka mengubah struktur percukaian kepada lebih kompleks dan kurang menguntungkan bagi sebahagian besar pelabur.
"Di bawah sistem terkini, pemastautin dikenakan cukai mengikut kadar progresif antara 0% hingga 30%, manakala bukan pemastautin dikenakan kadar tetap yang lebih tinggi iaitu 30%," katanya dalam nota.
Perubahan ini kata HLIB, dijangka melebarkan jurang pulangan, dengan pelabur yang berpendapatan tinggi berpotensi pula dikenakan kadar efektif mencecah 20% hingga 30%, berbanding hanya 10% sebelum ini.
Keadaan itu mengurangkan kecekapan pemindahan hasil, menyebabkan pelabur menerima pulangan bersih lebih rendah dan memerlukan pelarasan hasil yang besar dalam tempoh penilaian semula pasaran.

Selain itu, permintaan terhadap REIT dikhuatiri terjejas dalam jangka pendek berikutan isu tarikan pulangan bersih berkurangan berbanding kelas aset lain, dan membuka ruang kepada peralihan modal.
"Bagaimanapun, kami tidak pula menjangkakan berlaku situasi tindakan jualan panik secara besar-besar memandangkan hasil mutlak daripada sektor ini masih adalah kekal menarik," tambah HLIB.
Dari sudut operasi, perubahan cukai itu tidak menjejaskan prestasi asas REIT yang terus disokong oleh kenaikan sewaan dan aktiviti pemerolehan aset, dengan kadar agihan lazimnya melebihi 90%.
Walaupun berdepan tekanan jangka pendek, ia mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor REIT, disokong ciri defensif, aliran pendapatan stabil serta persekitaran kadar faedah stabil.
Sehubungan itu kata HLIB, kelemahan semasa hanyalah ketika fasa pelarasan sementara sebelum hasil diramal kembali stabil selepas pasaran dapat menyesuaikan diri dengan rejim percukaian baharu.
"Antara pilihan utama kami ialah Pavilion REIT dengan harga sasaran (TP) sesaham diramal RM2.02 yang disokong pemulihan perbelanjaan runcit berasaskan aktiviti pelancongan," jelas firma itu.
Turut disarankan ialah Axis REIT (TP RM2.25) yang meraih manfaat daripada pemerolehan aset, serta Sunway REIT yang dinaik taraf kepada ‘beli’ (TP RM2.52) susulan kelemahan harga terkini. - DagangNews.com








