Pemangkin luaran mampu lonjak pasaran saham pada suku akan datang - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemangkin luaran mampu lonjak pasaran saham pada suku akan datang - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept –  Walaupun prestasi kewangan syarikat pada suku kedua bagi tahun 2025 (2QFY25) menunjukkan sedikit kelembapan, pemangkin luaran seperti pemotongan kadar faedah AS memberikan ruang kepada pasaran saham Malaysia untuk bangkit semula, dengan potensi aliran masuk modal asing dan pertumbuhan pendapatan yang stabil menjelang 2026.

 

CGS International dalam rangkuman laporan keputusan kewangan suku kedua, berkata pengukuhan ringgit dan kadar pemilikan asing yang rendah turut membantu pertumbuhan akan datang.

 

Firma penyelidkan itu menambah, sebahagian besar syarikat mencatatkan keputusan berada dalam jangkaan pasaran dan tumpuan pelabur kini beralih kepada kemungkinan kitaran penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dijangka seawal mesyuarat dasar monetari pada 25 September ini.

 

Kata laporan itu, dua faktor utama menyokong jangkaan ini ialah data inflasi AS bagi Julai 2025 yang lebih rendah daripada jangkaan, dan nada dovish oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell, di Jackson Hole.

 

"Sekiranya kadar faedah FFR dikurangkan dan jurang dengan OPR Malaysia mengecil, ini dijangka mengukuhkan ringgit serta menjadi pemangkin positif kepada pasaran ekuiti Malaysia," kata laporan itu.

 

Jangkaan itu boleh dibandingkan dengan prestasi KLCI dan Ringgit pada 3Q2024, menjelang pemotongan kadar pertama pasca pandemik oleh Fed yang memperlihatkan Ringgit melonjak 11.3% dan KLCI meningkat 7.3% daripada paras terendahnya.

 

"Kajian juga menunjukkan korelasi songsang -41% antara prestasi KLCI dan jurang kadar FFR–OPR – menunjukkan peluang pelaburan menarik apabila jurang ini mengecil," kata firma itu.

 

Keuntungan KLCI Disemak

 

Berikutan semakan hasil keputusan 2Q25 dan pengiraan semula purata penilaian 5 tahun, firma itu meletakkan unjuran pertumbuhan keuntungan KLCI disemak kepada **4.0% (2025F)** dan **7.2% (2026F).

 

Sasaran akhir tahun KLCI dinaikkan kepada 1,690 mata (daripada 1,670 sebelum ini), berdasarkan penilaian P/E 14.9x (-0.5 sisihan piawai).

 

Dengan itu juga dalam senarai High Conviction (HC), penganalisis telah mengeluarkan CIMB dan menggantikannya dengan RHB Bank, sejajar dengan unjuran sektor kewangan dan potensi pulangan lebih kukuh.

 

Prestasi 2QFY25

 

Mengulas prestasi 2QFY25, sebanyak 29% keputusan mencatatkan di bawah jangkaan manakala 11% kejutan positif. 

 

Daripada 94 saham di bawah liputan aktif, sebanyak 61% menunjukkan keuntungan teras yang sejajar dengan jangkaan syarikat penganalisis dan 55% dengan konsensus Bloomberg. 

 

Hanya 11% mengatasi jangkaan, manakala 29% (kami) dan 34% (Bloomberg) mencatat keputusan di bawah jangkaan.

 

Kadar kejutan positif kekal pada paras 11% berbanding suku sebelumnya, namun kejutan negatif meningkat sedikit kepada 29% (daripada 28% sebelum ini), menurunkan nisbah kejutan positif-negatif daripada 0.38x kepada 0.37x.

 

Sektor yang menunjukkan keputusan mengecewakan termasuk:

 

Pengguna – faktor khusus syarikat,


Sarung Tangan – pemulihan volum jualan lebih perlahan dari jangkaan,


Penjagaan Kesihatan – tekanan daripada pihak pembayar hadkan prosedur tuntutan,


Teknologi – tekanan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

Sebaliknya, sektor Pengangkutan menunjukkan prestasi mengejutkan. Keuntungan segmen LNG MISC melebihi anggaran, Westports pula mencatat volum kontena lebih tinggi hasil aktiviti “frontloading” menjelang tarif balas AS.

 

Pendapatan teras agregat syarikat liputan CGS International dianggarkan menurun 2% suku-ke-suku, dan susut 7.2% tahun ke tahun (y-o-y) dalam 2QFY25.

 

"Secara keseluruhan, bagi 1HFYF25, keuntungan teras merosot 5.5% y-o-y, tetapi jika dikecualikan syarikat bermasalah seperti Hibiscus, Lotte Chemical Titan dan Petronas Chemicals, penurunan hanyalah -1.4% – hampir mendatar," kata firma itu. - DagangNews.com