KUALA LUMPUR 3 Mac - Pemandu Group hari ini melancarkan cabang pelaburannya, Pemandu Capital, yang berteraskan model dikenali sebagai “Transformational Capital”.
Serentak pelancaran itu Pemandu Capital memeterai pelaburan sulung menerusi pengambilalihan pegangan ekuiti majoriti dalam Intramiles Sdn Bhd.
Pengerusi Pemandu Group, Datuk Seri Idris Jala berkata, pelancaran Pemandu Capital membuktikan komitmen kumpulan itu untuk terlibat secara langsung dalam pembinaan nilai syarikat.
“Dengan Pemandu Capital, kami benar-benar meletakkan komitmen kami secara langsung. Ini bukan sekadar khidmat nasihat dari luar.
“Kami membina syarikat dari dalam — menyepadukan kepimpinan, memacu pelaksanaan dan mewujudkan nilai perusahaan yang mampan,” katanya dalam kenyataan
Pemandu Capital mengetengahkan pendekatan pelaburan yang menggabungkan suntikan modal dengan kepimpinan operasi yang disepadukan secara langsung dalam syarikat portfolio.
Model tersebut memfokuskan penempatan pemimpin transformasi berpengalaman yang mengaplikasikan metodologi operasi dan kepimpinan terbukti bagi memacu kejelasan strategik, disiplin pelaksanaan, peningkatan operasi serta penciptaan nilai jangka panjang.
Menerusi pelaburan itu, Pemandu Capital membentuk kerjasama strategik dengan pengasas bersama Intramiles yang akan terus terlibat secara aktif dalam kepimpinan syarikat.
Gabungan kepimpinan transformasi dan kepakaran industri mendalam disasarkan untuk membuka fasa baharu pertumbuhan dan peningkatan keuntungan syarikat.
Intramiles merupakan syarikat pembuatan kontrak khusus yang menghasilkan lebih 1,600 unit simpanan stok (SKU) merangkumi produk penjagaan rambut, penjagaan kulit dan penjagaan badan.
Syarikat itu memiliki keupayaan formulasi kukuh serta kecekapan operasi yang menyokong pelbagai jenama dalam segmen penjagaan diri dan penjagaan rumah.
Di bawah kendalian Pemandu Capital, Intramiles akan menggerakkan aspirasi “True North” dengan sasaran pertumbuhan berperingkat dalam tempoh akan datang.
Pelaburan dalam Intramiles menandakan permulaan strategi lebih luas Pemandu Capital untuk membina portfolio perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi tinggi di Malaysia.
Model Transformational Capital akan digunakan bagi memacu lonjakan prestasi yang boleh diukur, dengan Intramiles dijadikan projek perintis untuk membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut. - DagangNews.com








