KUALA LUMPUR 31 Julai - Peluru berpandu Exocet milik TLDM yang berusia lebih 20 tahun masih mempunyai taring apabila berjaya memusnahkan sasaran sepertimana dipamerkan pada Eksesais Taming Sari 23/25.
Walaupun menghampiri usia penggunaan, namun sistem peluru berpandu antikapal buatan Perancis ini perlu digeruni.
Peluru berpandu Exocet MM40 Block II mampu mengenai sasaran pada jarak 70 kilometer (km).
Latihan penembakan ini melibatkan tiga aset TLDM iaitu KD Lekiu dan KD Lekir menggunakan Exocet MM40, manakala kapal selam KD Tunku Abdul Rahman melancarkan Exocet SM39.

Exocet SM39 merupakan varian peluru berpandu khusus dilengkapkan kapal selam yang mana ia boleh dilancarkan dari bawah permukaan laut.
Buat julung-julung kalinya juga pada Eksesais Taming Sari 23/25 ini TLDM turut melaksanakan ujian tembakan torpedo Black Shark dalam konfigurasi perang oleh kapal selam KD Tun Razak.
Black Shark merupakan torpedo jarak jauh yang terbaik dalam kelasnya dengan sasaran sejauh 50km.
Kesemua latihan penembakan dilakukan dalam perairan negara di Laut China Selatan.


Kejayaan penembakan ini jelas memperlihatkan TLDM serius mempamerkan keupayaan dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah maritim Malaysia.
Selain itu, Eksesais Taming Sari 23/25 juga telah disempurnakan bersama-sama dengan Eksesais Kerismas 28/25 bermula dari 8 hingga 31 Julai 2025.
Kedua-dua latihan ini telah bermula dari Tambatan Pangkalan Lumut dan berakhir di Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu merangkumi kawasan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan.
Ini telah menterjemahkan kesiapsiagaan serta keupayaan semasa TLDM dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara serentak di dua wilayah.

Armada kapal-kapal perang TLDM dalam Eksesais Kerismas 2025.


Melalui latihan ini juga TLDM dapat menguji, menilai serta menambah baik prosedur, pelan dan doktrin yang berkaitan.
Pada masa kumpulan perancang pula dapat menambah baik dan melatih tahap kompetensi Armada TLDM khususnya dalam menangani ancaman peperangan maritim secara konvensional.
Latihan ini juga menjadi platform strategik dalam mempertingkatkan sinergi antara cabang perkhidmatan ATM dan APMM.

Terdahulu, latihan penembakan tersebut telah disaksikan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di atas kapal KD Mahawangsa selaku kapal induk semasa latihan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Md Othman. - DagangNews.com








