Pelan rangsangan ekonomi Terengganu Fasa 1: Bantuan RM2 juta untuk usahawan, insentif pesawah diperkenal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelan rangsangan ekonomi Terengganu Fasa 1: Bantuan RM2 juta untuk usahawan, insentif pesawah diperkenal

Wisma Darul Iman - Gambar UPDI
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis di Asia Barat yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, konflik tersebut telah memberi kesan besar kepada ekonomi negara khususnya melalui peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans, yang seterusnya memberi tekanan kepada kos operasi perniagaan.

 

“Keadaan ini menyebabkan pengeluar dan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung peningkatan kos, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga pasaran.

 

“Kerajaan negeri menjangkakan impak ekonomi ini akan menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila tekanan kos terus mempengaruhi keseluruhan rantaian bekalan.

 

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, menyokong kelangsungan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta membantu aktiviti pengeluaran padi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Fasa 1 itu merangkumi beberapa inisiatif melibatkan sektor pembinaan, keusahawanan dan pertanian.

 

Antara langkah utama ialah penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih serta penyelarasan semula kos kontrak.

 

Ahmad Samsuri berkata langkah ini diambil bagi mengambil kira perubahan kos semasa bahan binaan yang meningkat.

 

“Kerajaan negeri turut menumpukan pelaksanaan projek kecil yang bersifat ‘high impact dan low-hanging fruit’ bagi memastikan manfaat segera dapat disalurkan kepada rakyat.

 

“Dalam sektor keusahawanan, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan moratorium kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026.

 

“Langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam dengan jumlah pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.1 juta. Kerajaan negeri turut menambah saiz dana skim berkenaan sebanyak RM2 juta pada tahun 2026 bagi memperluaskan bantuan kepada lebih ramai usahawan,” katanya.

 

Bagi sektor pertanian pula, moratorium turut diberikan kepada peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027, melibatkan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.9 juta dengan kira-kira 400 peminjam terlibat.

 

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan insentif kepada pesawah sebanyak RM100 bagi setiap tan metrik hasil pengeluaran padi. Bagi pengeluaran melebihi 10 tan metrik, insentif maksimum sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap pesawah.

 

Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 4,513 pesawah dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM3 juta, khususnya dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan petani.

 

Tambahnya, Belanjawan 2026 akan diselaraskan semula berdasarkan keperluan semasa dan strategi yang lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi negeri.

 

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu serta mengurangkan tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

 

“Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh ekonomi negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya. - DagangNews.com