KUALA LUMPUR 9 April – Pelancaran dua pelan pascabayar baharu oleh Maxis Berhad dijangka tidak memberi lonjakan ketara kepada pendapatan dan keuntungan syarikat itu dalam tempoh terdekat.
Menurut CIMB Securities, walaupun pelan itu berpotensi meningkatkan purata hasil setiap pengguna (ARPU) selepas setahun, kesannya sederhana kerana struktur hampir sama dengan pelan yang sedia ada.
Firma penyelidikan tersebut menambah, jumlah yuran langganan daripada pelanggan baharu dalam masa 12 bulan pertama di bawah pelan baharu ini adalah setara dengan pelan yang ditawarkan sebelum ini.
"Pelan pascabayar baharu ini hanya terpakai kepada pelanggan baharu dan pengguna yang berpindah talian, manakala pelanggan pascabayar sedia ada boleh terus kekal dengan pelan semasa,” katanya.
Dalam nota analisisnya hari ini, CIMB Securities sehubungan itu berpandangan tawaran pelan Maxis tersebut tidak memberi sebarang peningkatan yang besar dalam hasil dan pendapatan kumpulan berkenaan.
Sumbangan hasil tambahan jelasnya, adalah kecil dengan andaian 30% daripada penambahan bersih pelanggan pascabayar bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 yang melanggan pelan RM65 dan RM75.

Berdasarkan kepada unjuran berkenaan, firma penyelidikan tersebut menganggarkan sumbangan itu hanya sekitar RM4 juta hingga RM5 juta setahun, dan menunjukkan kesan kewangan adalah amat terhad.
"Kami namun melihat pelaksanaan pelan baharu tersebut sebagai langkah positif kepada perniagaan Maxis itu sendiri dan industri mudah alih tempatan secara keseluruhan," kata CIMB Securities.
Perkembangan berkenaan ujar firma tersebut, turut menyokong usaha syarikat memperkukuh disiplin pasaran selepas pelarasan pelan prabayar yang dilaksanakan pada Oktober 2025 dan Februari 2026.
Justeru, ia masih lagi mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan perkhidmatan telekomunikasi itu tanpa sebarang perubahan, dengan mengambil kira impak minimum daripada pelan baharu tersebut.
Pada masa sama, CIMB Securities itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Maxis dengan harga sasaran (TP) yang turut tidak berubah kepada sebanyak RM4.60 sesaham. - DagangNews.com








