KUALA LUMPUR 19 Mei — Satu pelan rangka tindakan komprehensif bagi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal dimuktamadkan dan diumumkan kerajaan pada penghujung 2025.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pelan tersebut akan berfungsi sebagai 'dokumen sehenti' kepada pelabur yang berpotensi, pengawal selia dasar dan juga orang awam.
Ia kata beliau, turut menawarkan secara jelas mengenai pelbagai insentif fiskal serta hala tuju strategik dan pelan pembangunan jangka panjang untuk zon ekonomi khas berkenaan.
“Pelan ini akan menggariskan visi, tema pelaburan utama dan aspirasi strategik serta dianggap seumpama dokumen sehenti,” katanya dalam ucaptama ketika Dialog Rakan Kongsi JS-SEZ, hari ini.
Program itu menyaksikan enam bank tempatan dan antarabangsa utama menandatangani surat hasrat dengan Kementerian Ekonomi bagi membantu kerajaan dalam membawa masuk pelaburan ke JS-SEZ.
Malaysia dan Singapura secara rasmi menandatangani perjanjian pada Januari 2025 untuk mewujudkan zon yang bertujuan menarik 100 projek bernilai RM100 bilion dalam dekad pertamanya.
Ia dijangka bakal mewujudkan kira-kira 100,000 pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi bernilai tinggi dan bagi menyokong JS-SEZ, kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif menarik.
Ini termasuk kadar cukai korporat khas, bagi menarik minat pelabur untuk membuka perniagaan mereka dalam zon khusus tersebut yang terbentang luas dari Kulai dan sebahagian Pontian ke Pengerang.
Rafizi menambah, walaupun kebanyakan rangka kerja insentif telah dipersetujui pada peringkat dua hala dengan Singapura, namun butiran yang lebih terperinci masih lagi diperhalusi.
Kesemuanya itu kata beliau, akan dirangkumkan dalam satu pelan tindakan, yang mungkin dilancarkan secara rasmi dalam tempoh "enam hingga tujuh bulan" lagi. - DagangNews.com








