KUALA LUMPUR 8 April — Pelaksanaan meluas dasar bekerja dari rumah (WFH) berisiko menyebabkan kerugian ekonomi mencecah sehingga RM1 bilion sebulan, jauh melebihi penjimatan subsidi bahan api.
Menurut Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), pengurangan aktiviti ekonomi bandar, boleh mengakibatkan kehilangan nilai ekonomi semasa antara RM320 juta hingga RM495 juta setiap bulan.
Pada masa sama jelasnya, apabila diambil kira pelbagai kesan pengganda ekonomi, jumlah kerugian secara keseluruhan dikhuatiri boleh meningkat kepada antara RM480 juta hingga mencecah RM1 bilion sebulan.
“Situasi ini sekali gus memberi impak ekonomi secara negatif dan berpotensi mengatasi segala manfaat fiskal daripada inisiatif penjimatan subsidi bahan api oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
FMBA menjelaskan, sektor yang paling terjejas teruk ialah stesen minyak kerana bergantung besar kepada volum jualan tinggi tetapi beroperasi dengan margin rendah serta peningkatan kos tetap harian.
Tambahnya, pengurangan pergerakan harian akibat WFH turut akan menyebabkan penurunan secara mendadak jualan bahan api serta pendapatan sampingan, sedangkan kos operasi stesen adalah kekal.

Dalam situasi krisis di Timur Tengah ujarnya, gangguan bekalan petroleum boleh menyebabkan tempoh tanpa hasil, sekali gus memberi tekanan serius kepada aliran tunai dan kelangsungan operasi.
"Tekanan kewangan dalam masa lebih lama dan berpanjangan boleh menyebabkan penutupan stesen minyak kecil, serta menjejaskan akses bekalan di kawasan tertentu kerana kurang permintaan," kata FMBA.
Sehubungan itu, gabungan tersebut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman secara bersasar sebagai langkah penstabilan, berbanding pendekatan bantuan yang lebih menyeluruh.
Selain itu, mereka mengesyorkan pelaksanaan model hibrid yang seimbang termasuk mengehadkan WFH kepada peranan tidak kritikal serta memperkenalkan kaedah kedatangan kerja secara berperingkat.
Ujar FMBA, meskipun WFH menawarkan kelebihan dari segi fiskal, kesan luas terhadap penggunaan ruang bandar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta infrastruktur kritikal perlu ditangani dengan teliti.
Ia menegaskan pendekatan dasar yang seimbang dan sokongan bersasar amat penting bagi memastikan kecekapan fiskal dapat dicapai tanpa menjejaskan daya tahan ekonomi negara. - DagangNews.com








