Pelaksanaan e-invoice bagi syarikat dengan jualan tahunan sehingga RM5 juta ditangguh, kata Perdana Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan e-invoice bagi syarikat dengan jualan tahunan sehingga RM5 juta ditangguh, kata Perdana Menteri

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kerajaan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-invois selama setahun bagi syarikat yang mempunyai jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

 

Peraturan tersebut yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, kini akan dilaksanakan tanpa sebarang penalti.

 

Anwar berkata terdapat syarikat yang masih belum bersedia kerana kos persediaan yang agak tinggi.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara tersebut pada majlis Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

 

Perniagaan dengan hasil tahunan di bawah RM1 juta telah pun dikecualikan daripada pelaksanaan e-invois.

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini telah menangguhkan pelaksanaan e-invoice tersebut bagi syarikat bersaiz sederhana daripada 1 Julai 2025 kepada 1 Januari 2026 bagi memberi lebih masa kepada syarikat untuk membuat persediaan.

 

Sementara itu pada majlis sama Anwar turut mengumumkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan mendapat manfaat daripada peningkatan ambang pengecualian cukai jualan bagi perkhidmatan sewaan.

 

Kerajaan kini mengecualikan perniagaan dengan jumlah jualan tahunan sehingga RM1.5 juta daripada cukai perkhidmatan, berbanding ambang sebelumnya sebanyak RM1 juta.

 

Langkah ini bertujuan meringankan beban cukai ke atas firma kecil, yang menurut Anwar “masih menjadi cabaran kepada banyak perniagaan” walaupun ambang tersebut sebelum ini telah dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

 

Anwar menambah kerajaan akan terus meneliti dasar percukaian bagi menyokong pertumbuhan PMKS serta mengurangkan kos pematuhan. - DagangNews.com